Followers

Thursday 24 May 2012

Bab 5: Cerita Buat Kekasih

Hatinya bagai puing puing pasir yang ditiup angin terbang ke langit biru ketika mendengar suara Ariel membacakan iqamat. Ya Allah, andainya saat ini ada Adam tentu rasanya berbeza. Tentu dia tidak rasa seperti ini. Tentu dia bahagia kerana menghadiahkan zuriat kepada Adam.
Kak Meen...” Munira memegang tangan Yasmeen apabila melihat keruh di wajah ibu muda ini. Kasihan... tetapi dia tak mampu berbuat apa-apa.
“Kak Meen, nanti angah tolong jaga anak kak Meen boleh?”
Udara terasa berbuku di dada. Helaan nafasnya terasa berat. Permintaan Munira tu membuatkan dadanya semakin sesak. Bertambah sesak apabila memandang Ariel yang masih ralit memandang anak dalam kendongannya.
Tasnim, ertinya air di syurga yang mengalir dari atas. You are my treasure, a blessing from Allah. Subhanallah, memandang Tasnim dalam dakapan Ariel membuatkan dia sangat-sangat bersyukur dengan keajaiban Allah.
“Apa nama anak kak Meen ni?”
Yasmeen mengangkat pandangan memandang Munira. Ariel pula memasang telinga.
“Tasnim, air di syurga yang mengalir dari atas.”
“Sedap nama tu.” Ariel mencium lembut dahi kecil Tasnim yang masih berada dalam dukungannya. Jika boleh dia ingin menjadi bapa angkat kepada anak kecil ini. Boleh ka?
“Sedap nama tu kak Meen. Kita boleh selalu panggil dia dengan nama penuh.”
Yasmeen tersenyum. Teringat ketika dia dan Adam berbincang tentang pemberian nama Tasnim dua minggu sebelum Adam meninggalkan mereka berdua. Yasmeen, sudahlah... hati, sudahlah berbisik tentang Adam! Tetapi manalah dia boleh paksa hati dan perasaan ini untuk lupakan Adam. Adam tu papa kepada Tasnim dan suami kepadanya. Perjalanan mereka berdua sebelum ini tidak juga mudah. Semua orang tahu apa yang terjadi dalam kisah cintanya. Bagaimana mereka terpisah, bagaimana sakit yang dilaluinya, bagaimana hatinya pernah goyah.
“Meen, kalau you izinkan boleh tak I jadi bapa angkat kepada Tasnim?”
Munira memandang Ariel seketika sebelum dia memandang Yasmeen. Keadaan sudah berbezakan dan dia tetap sayangkan mereka berdua.
Boleh apa salahnya.” Jika Adam ada, tentu dia juga tak ada masalah. Selepas apa yang pernah berlaku dalam kisah cinta mereka, mereka berdua meletakkan kata percaya’ di tangga yang teratas. Tidak ada apa yang boleh mengugat cinta mereka.
“Terima kasih.”
“Along, sudah-sudahlah kendong Tasnim tu. Angah pun nak rasa juga peluk dan cium Tasnim.”
“Tasnim, anak daddy. InsyaAllah daddy akan berikan kasih sayang seorang ayah dan akan laksanan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Daddy sayangkan Tasnim.” Kata-kata itu dia bisikkan dalam hati ketika mencium dahi Tasnim sekali lagi. Wanginya bau bayi yang baru lahir, bau dari syurga!
“Along.” Bentak Munira separuh menjerit.
“Shhh...” balas Ariel sambil perlahan-lahan melepaskan Tasnim ke dalam pelukan Munira.
“Kak Meen, wangi betul bau bayi yang baru lahir kan. Betullah kata orang yang bayi baru lahir ni membawa bau dari syurga.”
Yasmeen tersenyum. “Bau yang susah kita nak jelaskan, betul tak?”
Munira menganggukkan kepala. Tasnim yang dia kendong tadi di letakkan semula ke dalam baby cot. “Kak Meen kalau nak letih pergilah rehat. Biar angah tolong tengokkan Tasnim.”
“Along balik dulu, jaga Tasnim tu elok-elok.” Munira ni kaki tidur. Kalau dalam bilik aircond macam ni, memang sedaplah dia tidur.
“Jaga Tasnim aja ke? Mummy Tasnim?”
“Tasnim dan Kak Meen kan satu pakej.” Munira ni tak berubah langsung!
“Okey, okey, angah jaga semua orang.”
“Meen I ada kerja ni, I balik dulu ya. Nanti malam I singgah sekejap.”
“Eh tak apalah Ariel, kalau you sibuk. Datang ajalah esok.”
“I datang malam nanti.” Dia sudah rasa tak boleh berenggang dengan Tasnim. Kalau boleh dia hendak peluk Tasnim dan menghirup baunya yang wangi. “You rehat ya.” Sambung Ariel lagi sebelum dia keluar.

Wednesday 23 May 2012

Bab 1: Azalea

"One way ticket to Los Angeles next month, 1st July." Beg sandangnya dipeluk erat walaupun dia tahu kaunter tiket MAS di KL Sentral ini ada pengawal keselamatan.
"Hanya ada flight pukul 11.00 pagi saja cik."
"Okey boleh." Kalau boleh dia mahu segera terbang. Tapi ke negara USA tu dia perlukan visa. Jadi dia perlukan lebih masa untuk buat persediaan.
"Flight MH92 dari Kuala Lumpur ke Los Angeles (LAX) pukul 11.00 pagi dan dijangka tiba di LAX jam 14.45 waktu sana."
"Okey."
"Harga tiket RM2873. Sila berikan nama penuh ya cik."
"Azalea Mohammad."
Duit simpanan ASB yang dia keluarkan tadi berjumlah RM5000 dan tadi dia mintak petugas di kaunter asingkan dalam bentuk RM1000 untuk setiap ikatan kertas tu. Jadi tiga ikatan ditarik keluar. Mereka bertukar tiket dan duit.
"Permohonan visa boleh dibuat di US embassy ya. Cik ikut saja penerangan ni." 
Petugas di kaunter tiket menyerah sehelai kertas yang sudah disiapkan informasi mengenai permohonan visa. Oh dia perlu sediakan duit untuk permohonan visa ini. Tak apalah, fikirnya. Dalam simpan masih ada lagi bagi dalam RM2000 lebih. Dalam akaun bank BSN rasanya ada dalam RM1500. cukuplah untuk digunakan dalam proses pelarian ini. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Ini adalah bunga Azalea yang akan berbunga apabila tiba musim bunga. Ia lebih bersifat kepada bunga yang mudah hidup dalam semua keadaan. Pada zaman dahulu, bunga Azalea ni biasanya tumbuh di tepi-tepi pokok atau di lereng bukit.

di negara Korea, Kelopak bunga Azalea ini dijadikan diletakkan dalam pancake. tengoklah tu comel aja kan. psstt... agak-agak boleh tak saya letakkan bunga ros atas pancake saya? hmmm kena cuba ni kan.

Thursday 17 May 2012

Bab 4: Cerita Buat Kekasih

Ariel tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya satu jambangan bunga lili di letakkan di atas meja dalam bilik Yasmeen. Ariel memang ada kelebihan kerana dia tahu apa saja yang menjadi kegemaran Yasmeen. Dia datang dengan niat hendak melawat. Tak salah kan?
“Maaf I datang tak beritahu.”
“Tak apa, sudi juga you datang.” Balas Yasmeen sambil memandang Munira. Dia seperti dapat merasakan yang Munira juga memainkan peranan dalam insiden kedatangan Ariel. Ketika kedua ibu bapanya di suruh pulang ke rumah.
Sungguh! Ariel kelihatan salah tingkah. Semuanya serba tak kena. Yasmeen yang dulu dan yang sekarang tetap juga memberikan impak dalam hatinya.
“Mana baby ni Kak Meen?”
“Kejap lagi nurse hantar lah tu.”
“Kita dua orang dah tak sabar nak tengok baby. Mesti comel macam kak Meen.”
“Akak comel ke?” balas Yasmeen dalam senyuman.
“Comel, tak percaya tanya along.” Balas Munira tidak mahu kalah.
Ariel hanya tersenyum membalas kata-kata Munira. “Kak Meen nak rehat tu angah.”
“Ya lah, ya lah... angah turun dululah beli makanan sekejap.”
Biar along yang turun. Angah jaga kak Meen.”
Apabila pintu bilik ditutup oleh Ariel, Yasmeen terus menyoal Munira. Betul pun tekaannya Munira dapat habuan besar kerana membantu Ariel.
“Maaflah kak Meen, angah tak sampai hati nak kata jangan datang along.’” Yasmeen tak tahu apa yang pernah dilalui oleh Ariel selepas perpisahannya dengan Yasmeen. Orang lain mungkin tidak tahu apa yang terjadi tetapi dia tahu semua yang dilalui oleh Ariel.
Rasa bersalah dengan dosa-dosa yang mengekorinya, rasa luka kerana berpisah dengan isteri yang dia sebenarnya sangat sayang. Belum habis yang itu, Ariel mengejutkan mereka semua dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Nelly. Yasmeen tidak tahu semua itu!



Ada rengekan kecil ketika dia melangkah masuk ke dalam bilik wad Yasmeen. Ada suara yang begitu menenangkan. Dia jadi teringat pada pesanan abah Yasmeen, untuk tolong azan dan iqamatkan cucu sulongnya. MasyaAllah, nikmatnya dia tak tahu nak gambarkan. Seperti anak itu adalah anaknya sendiir!
“Assalamualaikum.” Sapa Ariel perlahan dan berhati-hati. Dia takut suaranya yang kuat akan menambahkan lagi jeritan bayi kecil tu.
“Masuklah along.”
Orang sudah masuklah angah! Seronoknya dia lihat perempuan dua orang ni mengulit bayi kecil yang matanya masih lagi belum dibuka.
“Meen, abah you minta tolong I azan dan iqamatkan anak you ni.”
Yasmeen yang ketika itu sedang mengelus perlahan kepala bayi kecilnya tersentak sedikit. Allah... dia belum bersedia menghadapi saat ini. Dia belum bersedia berhadapan dengan perkara seperti ini ketika Adam tidak ada bersamanya. Wajah yang tadinya ceria bertukar mendung.
Munira yang tadinya juga ralit melihat bayi kecil comel dalam kendongan Yasmeen turut mengesan perubahan airmuka bekas kakak iparnya itu. Kepalanya diangkat memandang ke arah Ariel. Mata mereka bertentangan dan dalam masa yang sama Yasmeen sedang menahan tangisannya sendiri.

Wednesday 16 May 2012

Bab 3: Cerita Buat Kekasih

"Abah, ibu... Meen mintak maaf kalau ada salah silap." Sakit yang mencengkam membuatkan dia rasa sedih. Sedih kerana Adam tidak ada bersama. Sedih kerana dia sepatutnya melalui detik ini bersama dengan Adam. Sedih kerana apabila anak ini lahir dia sudah tidak punya ayah.
"Abah ampunkan segala dosa Meen."
"Ibu pun Meen, banyakkan berselawat sayang." Hajah Fatimah mengusap lembut rambut anaknya. Kasihannya dia memandang wajah Yasmeen. Sudah tentulah saat ini dia memerlukan seorang suami, tetapi sayangnya Adam baru saja meninggal dunia kerana Demam Denggi Berdarah.
Semuanya dia rasa macam mimpi. Dia sedang bertaruh nyawa membawa seorang lagi umat Muhammad ke dunia. Selawat dan zikir tidak putus dari bibirnya ketika ditolak masuk ke bilik bersalin.
"Assalammualaikum," sapa satu suara dari arah pintu. "Berapa bukaan?"
"5 cm." Jawab si jururawat pantas.
Dia sudah tidak fikrikan perkara lain lagi. Dia hanya mahu semuanya selamat dan keadaan ini akan berakhir dengan cepat.
"Puan Yasmeen, saya doktor Rokiah. Puan bawak bertenang ya. Ikut segala arahan saya, insya-Allah semuanya akan selamat." Ucap doktor perbidanan yang bertugas. "Bila saya kata push puan ikut ya." Arah doktor Rokiah.
Alhamdullilah... semuanya berlaku dengan pantas. Tadi... dia masih lagi berperut besar dan sekarang, ada bayi kecil perempuan yang diletakkan di atas perutnya yang sudah mengempis. Subhanallah! Walau tanpa Adam dia akan membesarkan anak ini dengan sebaik yang mungkin. Itu tekadnya.
Kesejukan terasa hingga ke tulang hitam. Segala urat saraf terasa sakit-sakit dan badannya begitu lemah sekali. Terasa damai apabila ada tangan yang mengusap lembut kepalanya. Dia tahu siapa tuan empunya tangan itu. "Abang," panggil Yasmeen perlahan dan serentak dengan itu kelopak matanya terbuka.
Matanya meliar mencari Adam. Sedihnya... apabila dia sedar yang Adam tidak ada dan dia hanya bermimpi tadi. Dia mimpikan Adam datang mengusap lembut kepalanya dan bagaikan masih terasa telapak tangan Adam di atas kepalanya. Tangan kanannya diangkat dan diletakkan di tempat yang Adam pegang dalam mimpi tadi.
Kelopak matanya dirapatkan semula dengan harapan Adam akan muncul semula dalam mimpi. Ternyata dia gagal kerana bukan Adam yang datang tetapi Ariel dan Murni yang sedang memberi salam. Dia letih, dan hanya mampu tersenyum ketika kedua beradik tu datang sebelum dia tertidur semula.



Perlahan-lahan kelopak matanya terbuka. Terasa lebih segar dari tadi. Mana semua orang? Kenapa senyap sunyi saja? Ketika matanya sedang melilau memerhatikan keadaan dalam bilik yang serba putih ini. Pintu bilik ditolak dari luar. Lagi? Munculnya wajah Munira.
"Kak Meen pakailah selendang ni dulu." Munira menyerahkan selendang yang memang terletak elok di atas pedestal tepi katil.
"Mana semua orang?" Musykil pula dia apabila Munira menghulurkan selendang. Tetapi dia sambut juga huluran Munira tu.
"Ayah dan ibu Kak Meen dah balik dengan Kak Aiman. Tapi jangan bimbang, angah temankan Kak Meen malam ni."
"Tak temankan pun tak apa. Kak Meen dah okey sikit." Betul, walau pun masih lemah... biarlah dia berdikari sendiri. Dia bukan lagi budak kecil yang minta ditemankan apabila bersendirian.
Sebenarnya ada perjanjian antara dia dan Ariel. Mahal betul harga yang Ariel perlu bayar untuk perjanjian ini. Sebuah handbag jenama Coach dari Madison collection. Apa yang dia perlu lakukan ialah, pujuk Haji Dzulkifli dan Hajah Fatimah balik ikut Kak Aiman. Kemudian dia yang akan ganti mereka temankan Kak Meen. Tetapi... dia bukanlah seorang diri.
"Assalammualaikum." ada suara yang memberi salam dari luar bersama ketukan perlahan di pintu.
Serentak itu juga Yasmeen memandang ke arah Munira. Siapa? Munira pula seperti memahami pertanyaan bisu dari Yasmeen dan terus menjawab. "Along."
"Along?" Ariel kan?
"Masuklah along."
Hish Munira ni, perangai kepoh dia tak pernah berubah. "Along nak apa?" bisik Yasmeen perlahan ketika melihat Ariel melangkah masuk. Bertambah geram apabila Munira hanya tersenyum seperti tidak bersalah!
"Hai Meen, you sihat?" sapa Ariel ketika matanya sempat bertemu pandang dengan Yasmeen untuk seketika. Selepas apa yang terjadi antara dia dan Yasmeen, dia tak pernah mahu menipu hatinya sendiri. Walau pun selepas bercerai dengan Yasmeen, dia berkahwin pula dengan Nelly. Semua itu tidak pernah menghilangkan rasa cintanya. Cuma dia saja yang sentiasa sedar diri di mana letaknya dia dalam hati Yasmeen.
"Hai. Sihat Alhamdullilah." Balas serba tidak kena. Nasib baik si murai ni berikan dia selendang tadi untuk menutup rambut yang bertocang satu ni.
Bedak? Mana bedak? Aduh... dia malulah menerima kedatangan tetamu dalam keadaan yang tidak terurus. Tentu wajahnya nampak sembab dan tidak segar.

Tuesday 15 May 2012

Bab 2: Cerita Buat Kekasih

Pergilah Nelly... I redha. Benar, keredhaannya itu akhirnya telah membawa pergi Nelly dari hidupnya. Di tanah perkuburan yang tanahnya masih merah ini dia membacakan surah Yaasin untuk Nelly. Kepalanya di dongakkan seketika mencari ruang untuk bernafas.
Pada hari yang sama ini di hujung sebelah sana dia lihat seorang wanita mengandung duduk di tepi kubur. Tekun membaca ayat suci Allah. Wanita itu sudah ada di situ ketika dia sampai dan masih lagi di situ ketika dia sudah selesai membacakan surah Yaasin untuk arwah Nelly. Sesekali dia lihat wanita itu seperti mengesat air matanya.

 Lihatlah wanita itu yang mungkin sudah sarat benar hingga hendak bangun pun terasa begitu payah sekali untuk bangun. Ya Allah, kau permudahkanlah hidup ibu mengandung itu. Tetapi dari kejauhan itu dia terasa ada sesuatu yang menarik tentang wanita itu. Wajahnya, gerak langkahnya walau kelihatan sangat lemah. Lihatlah caranya mengelapkan air mata dengan belakang telapak tangan. Sama dengan seseorang yang pernah dekat dengannya. Seseorang yang mengajar dia erti hidup!

Langkah kaki diatur perlahan agar tidak tersalah langkah. Maklumlah musim hujan, rumput-rumput masih lagi basah dari hujan malam tadi. Bimbang tergelincir nanti. Pada usia kandungan yang sudah mencecah hampir sembilan bulan ini, dia sudah tidak lincah lagi. Dia cepat letih dan sering sakit belakang. Jika dulu Adam akan ada untuk membantu, tetapi...

Sesekali tangannya mengelus perut yang terasa tegang. Semuanya dia rasa serba tidak kena. Emosi, kesihatannya... semuanya sudah tidak tentu hala. Sepatutnya saat ini dia dan Adam sedang melakukan persiapan untuk meraikan kehadiran permata cinta mereka.
“Leganya.” Keluh Yasmeen penuh kelegaan apabila berehat sebentar di wakaf yang disediakan. Staminanya sudah semakin berkurangan. Dia cepat lelah selepas melangkah beberapa tapak. Mujurlah keretanya di letakkan berhampiran dengan tanah perkuburan ni.
“Sayang mama.” Bisik Yasmeen perlahan sambil mengusap perlahan perutnya yang membuncit. Perutnya besar dan beratnya sudah bertambah sebanyak 25 kilogram mencecah ke angka 75. “Papa dan tinggalkan kita sayang.” Terasa pergerakan tangan anaknya seperti memujuk. Dulu... Adam sangat teruja apabila perutnya bergerak perlahan.
Hendak sampai ke kereta yang hanya sekangkang kera dari wakaf ini pun dia rasa nyawanya seperti hendak tercabut. Nafasnya rasa sangat sesak. Sayang... kita mesti kuat semangat. Bisik Yasmeen sambil mengosok perutnya. Anak yang dikandungnya ini seperti memahami yang mamanya sedang bersedih. Mungkin benar mereka sedang berkongsi kehilangan. Kehilangan Adam yang dia cinta.
Penghawa dingin keretanya dia buka ke laras yang minima. Dia sudah tidak tahan sejuk. Badannya akan terasa ngilu, belum lagi tiba waktu malam. Jika dulu Adam sangat rajin memakaikan stokin dan menyelimutkannya. Kadang kala Adam yang penyabar tu akan buat apa saja asalkan isterinya ini selesa di atas katil.
Ketika kandungan menginjak ke tujuh bulan, dia sudah tidak selesa tidur baring atas katil. Biasanya Adamlah yang akan buat kerja-kerja meletakkan bantal di kiri kanannya. Atau ada ketikanya apabila pinggangnya sangat sakit dia hanya tidur separuh baring sambil bersandar pada Adam yang juga dalam keadaan yang sama di atas sofa mereka.
Astagfirullah... Yasmeen jangan dikenangkan lagi.
Gear ditukarkan ke D untuk memulakan pemanduannya. Hendak memandu juga dia sudah sangat seksa kerana perutnya yang besar ini. Sejak tiga minggu selepas Adam pergi meninggalkan mereka, dialah yang buat semuanya. Mujurlah dia bekerja sendiri berkongsi dengan Aiman. Jadi bolehlah dia buat kerja mengubah dari rumah saja.
Keluar dari tanah perkuburan Ampang,  dalam kepayahan tu dia memandu ke KLCC. Tempat paling hampir untuk dia membeli belah barang keperluan baby. Dia dan Adam memang sudah banyak kali berjalan mencari barang keperluan. Perancangan mereka memang adalah waktu ini untuk membeli barang-barang bayi. Tetapi perancangan Tuhan, Adam pergi dulu sebelum bayi ini dilahirkan.
Tak mengapalah sayang... kita berdua pun boleh kan.
Perut yang senak, sakit dan pinggang yang tegang itu tidak dia pedulikan. Dia kan kuat semangat. Dia mesti boleh! Lagi pun Aiman yang akan memandu balik dari KLCC nanti. Yasmeen langsung tidak menyedari ada kereta lain yang sedang mengikutnya dari belakang. Pemandu kereta yang sangat setia mengekori dari tanah perkuburan tadi.
Langkah yang di atur oleh Yasmeen sangat perlahan. Dalam keadaan kandungan yang semakin membesar ini, dia terpaksa melakukannya seorang diri. Adam... saya dapat rasakan tendangan kaki anak kita ni. Sekali lagi dia berhenti dan duduk di bangku yang disediakan. Hendak ke tingkat dua pusat membeli belah ini pun dia rasa sangat seksa. Dia cepat penat sekarang ni!
“Aiman, aku dah sampai ni.”
“Kat mana? Aku dalam teksi lagi ni.”
“Tingkat dua, depan entrance Isetan ni.”
“Okey, kau tunggu aku sampai aku datang. Aku dah ada depan Ampang Park ni.”
“Cepat, aku rasa macam lapar.”
Sejak mula mengandung dia akan cepat lapar. Jadi dulu, Adam akan sediakan biskut atau coklat dalam beg tangannya. Sekarang ni, Aiman yang ambil alih tugas tu.
“Makan biskut tu, aku dah letakkan tadi dalam beg kau.” Balas Aiman. Sejak Adam tak ada, dia sudah pindah ke rumah Yasmeen. Sementara dia masih bertunang ni bolehlah dia temankan Yasmeen sehingga Yasmeen selamat bersalin dan tamat tempoh pantangnya. Lagipun Yasmeen bercadang hendak habiskan tempoh pantangnya di kampung.
“Ya lah, aku nak makan ni. Cepat sikit ya.” Boleh tak kalau dia nak suruh Aiman dukung dia sebab dia dah tak larat nak jalan.
Dari jauh Ariel memerhatikan wanita yang dia ekori dari tanah perkuburan tadi. Betullah itu Yasmeen tetapi kubur siapa yang dia lawat tadi? Yasmeen mengandung. Bisik Ariel dalam hati. Berbeza sangat dengan Yasmeen yang pernah dia kenal enam tahun dahulu. Yasmeen yang dahulu dan sekarang tetap juga comel di hatinya.


 Tangannya menyelok isi dalam beg mencari biskut yang dibekalkan oleh Aiman. Sekali lagi dia merasai tendangan kaki anak yang sedang dikandungnya. Hati... tabahlah! Perlahan-lahan perut yang sedang menegang tu dia gosok dengan tangan kanannya.

“Sayang jangan nakal.” Bisik Yasmeen kepada anak dalam kandungan.

“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.” Kepalanya mendongak memandang suara yang menegurnya dan dia nampak... Ariel? Ariel yang pernah menjadi suaminya. Lelaki yang punya tempat istimewa dalam hatinya! Ya lah buat apa nak tipu, selepas Adam dia hanya ada Ariel dan selepas Ariel dia ada Adam.
Atau secara ringkasnya Adam à Ariel à Adam. Mereka berdua saling berkait dengan seorang wanita bernama Yasmeen.
“Yasmeen.” Tegur Ariel.
“Ariel?” Dia tidak banyak berubah pun. Rambutnya masih hitam. Pakai pewarna rambut ke Ariel? Cuma... dia kelihatan sedikit kurus. Ya lah... mereka pun bukan muda lagi.
“Awak dah...” Ariel memandang ke arah perut besar Yasmeen.
“Tengah tunggu hari.” Balas Yasmeen perlahan. Dia malulah... perutnya ini besar dan bulat. Selalu saja menjadi perhatian orang ramai kerana dia seperti sudah tidak berdaya hendak membawa perut yang besar ni. Badannya pula tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan saiz perutnya ini.
“Beraninya jalan seorang diri. Adam mana?” dia tahulah Yasmeen telah memilih Adam selepas tiga tahun mereka berpisah. Cerita perkahwinan Yasmeen tu dia dapat tahu daripada Murni dan sebelum itu pun dia pernah terserempak dengan Yasmeen dan Adam di Kinokuniya.
“Saya tengah tungguh Aiman.”
“Kalau dah sarat macam ni duduk rumah ajalah Meen.”
Terasa berbuku air liur yang ditelannya. Ariel tak tahu, dia trauma tinggal di rumah seorang diri. Sebetulnya sejak Adam pergi, dia lebih senang berada di luar jika tiada Aiman menemaninya di rumah.
“Sorry Meen... aku lambat.” Jerit Aiman tidak jauh dari mereka.
“Err...” Aiman terkejut memandang lelaki yang bersama dengan Yasmeen. Bila masa pula Yasmeen dan Ariel ‘berkawan’ semula?
“Apa khabar Aiman?” eh mana dia boleh lupa, Aiman kan kawan Yasmeen dah dia pernah hampir salah sangka yang Aiman tu adalah kekasih Yasmeen.
“Ariel?”
Ariel angguk kepala. “Ternampak Meen duduk sini tadi, tu yang saya pun datang sini. Maklumlah dah lama tak jumpa.”
“Oh... saya ni pun nak temankan Meen beli barang baby.” Jujur Aiman menerangkan situasi mereka kepada Ariel.
Yasmeen ni kalau bab berjalan dan shopping memanglah dia kuat semangat. Lihatlah dah tunggu hari macam ni pun masih sempat nak membeli belah tanpa Adam pula tu. “Adam mana?” Ariel... masih juga hendak tahu tentang Adam. Maklumlah saingan kan?
“Adam...” Aiman tidak meneruskan kata-katanya. Sebaliknya dia memandang Yasmeen di sebelah.
“Adam dah tak ada.” Jawab Yasmeen lirih dan perlahan.
“Adam pergi mana?” Soal Ariel pantas. Lain macam aja bunyi suara Yasmeen ni.
“Dia dah pergi tinggalkan kami.” Balas Yasmeen perlahan dan menggosok perlahan perutnya. Ya Allah... dia sangka dia kuat. Ternyata tiga minggu tempoh pemergian Adam tu masih belum menghilangkan kesedihannya.
“Innalillahhiwainalilahhirojiun.” Bisik Ariel perlahan. Kasihannya Yasmeen. Dia keseorangan menghadapi saat melahirkan anak yang dikandungnya.
Hatinya meronta-ronta ingin tahu bagaimana Adam pergi meninggalkan mereka. Tetapi wajah sayu Yasmeen menghalangnya untuk terus bertanya. Sejak dulu dia tidak pernah boleh melihat wajah sedih Yasmeen. Ya lah tuh Ariel, kau tetap juga sakitkan hati Yasmeen.
Sudahnya hampir ke lewat petang dia menemani Yasmeen dan Aiman membeli barang keperluan si kecil yang bakal lahir. Yasmeen tu memanglah... sedih macam mana sekali pun, apabila tiba bab membeli belah pastilah dia yang terlebih bersemangat.
Dalam diam juga dia belikan juga sepasang dua baju jenama Poney untuk si kecil yang bakal lahir. Entah-entah kembar sebab perut Yasmeen tu besarnya mengalahkan apa aja. Tetapi Yasmeen kata bukan kembar. Tak apalah dia belikan saja dress kecil warna pink dengan polkadot warna merah. Pasti comel nanti.
“Ariel, tak payahlah susah-susah belikan baju ni.” Malulah dia nak terima pemberian Ariel selepas enam tahun tidak berjumpa. Kemudian Ariel pula menemani mereka sejak tadi. Serba salah dia dibuatnya, hendak dihalau nanti nampak seperti tidak beradab. Dibiarkan, Ariel pula mengekori mereka sejak tadi.
“Dah cukup semua barang?” soal Ariel tanpa membalas kata-kata Yasmeen tadi.
Yasmeen angguk kepala. Sebenarnya ada dua benda yang dia belum beli, stroller dan car seat. Tetapi biarlah dulu. Bila si kecil ni dah keluar barulah dia beli yang itu.

Friday 11 May 2012

Bab 1: Cerita Buat Kekasih

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia redha, inilah balasan Allah yang harus dia terima untuk segala kekhilafannya. Dia gagal menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Dia sepatutnya menjadi lelaki yang memimpin dan bukannya lelaki yang dipimpin oleh wanita-wanita yang seksi dan menggoda. Salah satunya adalah Nelly.
Itu adalah Nelly yang dia kenal bertahun dulu. Gebu, seksi, manja dan lincah. Tetapi Nelly yang menjadi isterinya hari ini kurus kering dan terbaring lesu. Dada Nelly berombak perlahan menjadi perhatiannya. Sekarang ini Nelly hanya bergantung kepada oksigen semata-mata.
Biarlah dia simpan rahsia Nelly dalam hatinya. Nelly dia kahwini dengan seikhlas hati untuk menebus segala dosa yang pernah mereka lakukan. Dia tidak akan bercerita bagaimana Nelly dihinggapi oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) tu pada sesiapa pun. Itu adalah rahsia yang dia akan simpan sampai mati kerana Nelly telah menjadi isterinya dan satu tanggungjawab untuknya sebagai suami menutup cerita gelap sang isteri.
“Nel, I keluar sekejap ya.” Tekaknya haus
Pada saat kesihatan Nelly semakin merosot ini dia telah mengambil cuti tanpa gaji. Dia akan jaga Nelly sampai akhir hayatnya. Menurut doktor yang merawat Nelly, tahap kesihatannya semakin merosot. Tambahan pula matanya yang cantik dahulu sudah tidak boleh melihat kerana komplikasi Cyromegalovirus Retinitis.  
Ya Allah, aku redha jika ini adalah jalan terakhir untuk Nelly. Ketika dia hendak bergerak jauh dari katil, pipi cengkung Nelly basah. Dia menangis. Tangisan Nelly tu seperti pisau yang menghiris hatinya. Kepiluan itu terasa hingga ke tulang.
Nel, I tetap sayangkan you walau pun you I nikahi pada awalnya atas dasar simpati dan sebagai penebus dosa. I ingin bertanggungjawah ke atas you. Bisik Ariel dalam hati ketika dia berjalan perlahan meninggalkan Nelly yang terbaring tidak bermaya.
Pintu bilik khas yang dia tutup tadi, dia buka semula. Hatinya berat hendak meninggalkan Nelly pada saat genting seperti ini. Gerak hatinya mengatakan saat Nelly semakin hampir dan dia tidak mahu Nelly pergi tanpa dia di sisi.
Langkahnya diatur semula ke arah katil Nelly. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bau ubat sudah sebati dengan dirinya. Atau lebih tepat apabila Nelly dimasukkan ke hospital sejak dua bulan lepas. Sejak itu jugalah di sinilah rumahnya.
“Nel, I tak akan tinggalkan you.”  Ya Allah, jika inilah jalan yang terbaik, aku redha dengan seikhlas-ikhlasnya. “I sayangkan you.” Memang benar itu yang dia maksudkan. Dia sayangkan Nelly. Sayangkan Nelly dengan seikhlas hatinya.
Ketika dia mengusap lembut menghapuskan air mata yang mengalir di pipi cengkung Nelly. Dada Nelly berombak kuat.  Melihat keadaan Nelly seperti ini dia sendiri yang sebak. Sejak dia berkahwin dengan Nelly dan sejak berita penyakitnya ini sampai ke pengetahuan ibu bapanya. Nelly disisihkan terus, kejam sungguh percaturan manusia. Itu pun mereka tidak mengetahui punca Nelly dapat penyakit ini. Cubalah kalau mereka tahu, tentu Nelly akan dihina dengan teruknya.
Tangan lemah Nelly teraba-raba mencari topeng alat bantu pernafasan yang terlekat di hidungnya.
“Ada apa Nel?” telinganya di dekatkan pada Nel. Tangan mereka bertautan walau dibatasi oleh sarung tangan keselamatan. Kudis pada permukaan kulit kadang kala mengeluarkan bau hanyir. Mulanya dia rasa loya, tetapi lama-kelamaan semua rasa itu dia telan sendiri demi Nelly.
“I mintak maaf Ariel, pada you... pada Yasmeen. Ampun kan dosa I.” Bisik Nelly perlahan dan hampir tidak kedengaran.
“I dan Yasmeen dan maafkan you. Kami redha.” Dia masih ingat lagi Yasmeen ada menghantar SMS memberitahu yang dia redha dan maafkan Nelly untuk atas apa yang berlaku pada perkahwinan mereka sehari selepas mereka sah bercerai."dan I juga dah maafkan you."
Suara Nelly semakin perlahan dan terputus-putus. Dadanya semakin kuat berombak. “Doctor.” Jerit Ilham. Butang kecemasan dia tekan dalam perasaan yang bercampur baru. Semuanya terjadi dalam sekelip mata.

Thursday 10 May 2012

New blog

Welcome to Adileah's new blog