Followers

Tuesday 12 June 2012

Bab 2: Azalea

Kring!
Kalau jam tak berbunyi pun dia sudah bangun. Otak dan badannya memang sudah disetkan. Tepat saja jam 6.00 pagi dia akan bangun.
Ketika dia hendak ke bilik air tu, emak dan abah memang sudah bangun. Emak sedang mengurut-ngurut dada abah. Terdengar juga bunyi semput abah tu. Kasihannya, kalaulah dia punya kuasa sakti. Dia ingin sembuhkan penyakit abah. Memandang abah derita, hatinya juga turut menderita.
Jika hendak disenaraikan banyak betul senarai penyakit abah dan kedatangan mereka tidak boleh diduga. Macam sekarang ni, sakit semput yang datang menyerang. Abah tu pun satu, lagi kita tegah jangan makan lagi banyaklah dia makan. Kadang-kadang merasa jugalah abah cubitannya. Eh semalam tu cubitan sayanglah sebab abah tak mahu berhenti makan buang langsat. Buah tu kan angin dan akibatnya seperti pagi inilah.
“Iya nanti tolong masakkan air. Abah nak mandi guna air panas.” Puan Hamidah mengarahkan anak nombor tiganya, Azalea untuk menjerang air.
“Okey.” Balas Azalea. Dia anak nombor tiga dalam keluarga. Kata orang anak nombor tiga ni degil dan suka dimanjakan. Selalu juga membuat onar kerana perlukan perhatian. Dia memanglah degil dan ada saja benda yang dia buat akan membuatkan emak naik angin. Yalah... dia bukan anak yang baik. Sedar juga dirikan tapi langsung tak mahu berubah!
Berdenting tutup cerek jatuh ke lantai simen. Azalea ni kasarlah! Cubalah buat sesuatu tu dengan baik dan sopan. Gumam Azalea dalam hati.
“Apa tu Iya?” tegur puan Hamidah dari tingkat dua rumah mereka.
“Tutup cerek ni jatuh mak.” Balas Azalea dari dapur yang terletak di aras bawah.
Buat kerja tu perlahanlah sikit.”
“Baik mak.”
Emak memang kuat berleter, mungkin berleter tu satu terapi agaknya untuk emak. Jadi dia pun tak kisah asalkan mak gembira. Mungkin semua orang tak sedar, dia adalah orang yang paling sensitif dalam keluarganya. Dia adalah orang yang paling cepat mengesan ketidakselesaan hati semua orang dalam rumah ini. Bila mereka sedih, marah dan sakit.
Cuma sifatnya jenis malas nak cakap, jadi dia biarkan sahaja. Cuma, tolong jangan sakitkan hati emak dan abah. Itu satu kepantangannya.
Mak, Iya nak mandi sekejap tau. Air atas dapur ni.” Azalea memberitahu emaknya.
“Ya lah, pergilah mandi cepat nanti terlepas bas sekolah.”
Dari dalam bilik air dia terdengar emak sedang mengejutkan Alina untuk bangun. Biasanya Alina akan lewat bangun dari dia. Alina adalah adik bongsunya, beza usia mereka adalah 7 tahun. Jauhkan jarak mereka.
Dulu masa Alina masuk darjah satu dialah yang menghantar budak kecil tu pergi mendaftar di sekolah Rendah Kebangsaan Bota Kanan. Dia sekolah di sekolah rendah tu ketika darjah lima dan enam sahaja.
Mereka empat beradik terpaksa balik ke kampung kerana abah mengambil pencen awal disebabkan oleh masalah kesihatannya. Akibat dari penyakit kencing manis yang dihidapinya, mata abah menjadi rabun dan lama kelamaan kerabunannya semakin kuat sehingga tidak boleh melihat.
Dulu boleh juga abah memandu kereta, tetapi sekarang sudah tidak boleh memandu langsung. Kalau hendak ke mana-mana abah sudah teraba-raba. Tetapi di rumah mereka ni abah sudah hafal segala pelusuk dalam rumah ni.
Kedua orang kakaknya Aziah dan Amiza sudah bekerja selepas tamat SPM. Aziah sudah berkahwin dan Amiza masih lagi bujang.
“Iya, apa lama sangat mandi tu? Dah lewat ni.”
“Kejap mak.” Azalea waktu pagi jangan berangan nanti lewat.
“Kejap-kejap, Alina nak mandi ni!”
Puan Hamidah menjerit nama Azalea ke dapur di tingkat bawah. Dia hendak masakkan sarapan untuk anak-anaknya bawa bekal ke sekolah. Mereka berdua tu tak memang bukan jenis sarapan awal. Jadi waktu rehat jam 10.00 pagi itulah waktu sarapan mereka.
“Mak masak apa?”
Azalea menangkap suara Alina bertanya.
“Roti burger telur boleh?”
“Lin suka sangat roti burger telur yang mak buat.”
Mengada-ngada punya budak kecil. “Lin cepat mandi!” rambut tocang ekor kuda Alina ditarik dari belakang ketika dia sedang berjalan hendak ke bilik di tingkat atas.
Sebelum pencen, abah sudah siap bina sebuah rumah dua tingkat yang selesa untuk mereka sekeluarga. Tingkat bawah ini ada dua bilik tetamu, ruang tamu untuk menonton dan dapur. Bahagian atas pula adalah bilik mereka empat beradik dan bilik emak. Tetapi sejak akhir-akhir ni abah lebih selesa tidur di luar. Katanya lemas tidur dalam bilik.
“Emak tengoklah kak Iya ni, tarik rambut Lin.”
“Hish kamu berdua ni. Lin pergi mandi sekarang! Iya, pergi solat cepat!”
“Baik mak.” Jawab mereka serentak. Apabila suara cik puan sri Midah sudah tinggi, haruslah cepat ikut perintah. Nanti tak fasal-fasal dapat cubitan mak yang berbisa.
Puan Hamidah mengelengkan kepala dengan telatah dua orang anak yang masih bersekolah ni. Tangannya pantas memetik pemetik dapur gas dan meletakkan kuali. Dalam masa yang sekejap saja dia sudah menyiapkan dua beg berisi bekalan air kosong dan roti burger telur.