Followers

Monday 30 March 2015

Bab 1: Azalea

Cerita ini bukan tentang Laila dan Majnun
Cerita ini tentang kami
Kami yang mati kerana cinta





BAB 1
Azalea duduk bersila di kerusi batu bawah pokok ketapang tepi padang sekolah. Inilah tempat kegemarannya pada waktu rehat. Bekalan makanan yang dibawa dari rumah dibuka dan diletakkan di hadapannya. Sejak dahulu, dia memang suka membawa bekal untuk menjimatkan belanja dan menambahkan wang tabungannya.
“Hei Iya, dari tadi aku tengok kau terukmat-kamit, kau kira apa ni?” Munira yang duduk di sebelah Azalea memandang temannya penuh kehairanan. Macam nak bagi pinjam sepuluh jari tangan dan sepuluh jari kaki. Senang sikit Azalea hendak mengira.
“Kira duitlah nak beli soalan percubaan.” Munira di sebelah dipandang sekilas.
“Kita share beli ajalah. Kau beli lima subjek, aku beli lima. Lepas tu kita fotostat aje lah. Lagi jimat.”
Azalea senyum. “Kadang-kadangkan otak kau ni boleh tahan bijak.” Tapi memang bernas sangat cadangan Munira tu. Boleh jimat banyak duit tabungnya.
“Mestilah.” Munira tersenyum lebar sebelum menyambung semula kata-katanya. “Nak lepak kat sekolah tak hari ni?”
Lepak kat sekolah nak buat apa?” soal Azalea. Tak pernah-pernah Munira ajak dia lepak di sekolah. Munira – sekolah, mana pernah serasi. Munira ni lah pelajar malas datang sekolah selepas waktu sekolah. Jadi jangan haraplah dia hendak lepak di sekolah ni.
Hari ni ada latihan kawad pengakap lah.” Terang Munira.
“Okey, habis tu kau nak buat apa? Nak berkawad jugak ke Nira?”
“Kau nilah... bolehlah kau tengok Qiyaman dan aku tengok Nurhan.”
Oh Qiyaman. “Aku letihlah.” Qiyaman tu memang pakej yang sangat menarik. Bolehlah dipertimbangkan cadangan Munira tu.
“Qi.” Gesa Munira lagi. Azalea ni peminat setia pada Qiyaman. Penolong Ketua Pengawas yang paling terkenal dan popular di sekolah. Manalah tahu kalau dia sebut nama Qi, Azalea boleh berubah hati. Lagi pun dia hendak tengok Nurhan.
Qiyaman sangat terkenal di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan. Dia terkenal kerana kecomelannya dan ada karisma berbanding dengan ketua pengawas, Nurhan. Si Azalea ni memang minat sangat dengan Qiyaman hinggakan dia akan tulis tarikh dan jam untuk setiap pertemuannya dengan Qiyaman dalam diari.
“Tahu, tapi aku letih sangat. Semalam kan aku tolong mak aku kat pasar tani. Esok dah nak kena siap-siap untuk meniaga kat pekan Rabu pulak. Hari ni aja yang aku ada masa nak rehat kat rumah lepas sekolah.
“Kalau kau tak mahu, aku pun tak jadilah.” Musnahlah impian dia nak tengok Nurhan berlatih kawad di padang sekolah.
“Ikut aku buat apa? Nak tengok Nurhan tu pergi ajalah. Nanti kalau kau rindu kat Nurhan tu aku yang susah.”
“Tak naklah, malu.”
“Malu konon...” Azalea menolak bahu Munira perlahan sambil tersenyum mengusik.
“Eh hari ni kau bawak bekal apa?” tanya Munira yang ketika itu sedang membuka bekalan yang dibawa.
“Roti burger telur aja. Abah aku semputlah malam tadi.” Kalau abah sakit, emak memang masak yang mudah macam ni untuk bekal mereka ke sekolah.
“Alah kesiannya. Kita kongsilah makan bihun goreng aku ni.” Balas Munira sambil membuka bekalannya.
“Qi, Qi.” Munira sedikit kelam kabut ketika dia ternampak Qiyaman sedang berjalan di tepi padang sekolah.
Azalea memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Munira. Qiyaman dengan gayanya yang tersendiri yang suka menyingsing lengan kemeja putihnya hingga pertengahan lengan.
Uhuk, Uhuk.
Aduh dia tersedak cili dari bihun goreng Munira ketika Qiyaman betul-betul sedang lalu berhampiran mereka. Tekak rasa terbakar!
“Air, air.” Azalea tergesa-gesa membuka botol air dan meneguknya. Ketika dia sedang meneguk air yang di isi dalam botol mineral tulah, Qiyaman sudah berdiri di hadapannya.
Uhuk, Uhuk, bertambah kuat tersedaknya. Benci! Sekali lagi dia tersedak tapi kali ini dia tersedak air pula. Aduh kenapalah dalam keadaan macam ni Qiyaman betul-betul ada di hadapannya.
“Awak okey ke?” Qiyaman memandang wajah merah padam budak perempuan di hadapannya. Budak perempuan ni nampak comel sangat.
Azalea hanya angguk kepala dan matanya bulat memandang Qiyaman yang sudah melutut di kakinya. Ini adalah kali pertama dia begitu hampir dengan Qiyaman. Jantungnya berdegeup lebih laju, rasa macam nak pengsan.
“Lain kali makan tu hati-hati.” Nasihat Qiyaman dalam senyuman.
Azalea angguk kepala lagi. Hari ini pertama kali dalam hidupnya bercakap dengan Qiyaman dalam jarak yang sebegini dekat. Dia rasa nak lompat tinggi-tinggi sampai ke langit!
“Qi kau buat apa tu?”
Tegur satu suara dan mereka bertiga menoleh ke arah suara itu. Dia, Munira dan Qiyaman memandang ke arah Nurhan yang sedang berjalan menghampiri mereka.
“Tak ada apa.” Balas Qiyaman sambil bangun dan mengibas seluarnya di bahagian lutut dengan tangan kanan.
“Jom, lepas habis waktu rehat ni kita ada spotcheck.” Nurhan berjalan pantas di hadapan Qiyaman.
Qiyaman menoleh sekilas ke belakang. Memandang budak perempuan yang merah padam mukanya kerana tersedak tadi. “Lain kali makan tu jangan gelojoh, perlahan-lahan supaya tak tersedak.” Ucap Qiyaman sebelum pergi bersama Nurhan.
Budak comel yang dia suka lihat. Dia selalu nampak budak ni setiap hari Rabu, menolong emaknya yang berniaga nasi lemak. Dia hanya akan singgah di gerai tu selepas hantar Husna ke sekolah dan biasanya ketika dia sampai budak perempuan comel tu sudah pun pergi ke sekolah.