Petang tu Sebelum pukul 5.00 petang dia sudah
keluar dari pejabatnya yang terletak di Petaling Jaya Seksyen 13. Mujurlah petang
ni tak hujan, jadi bolehlah dia bergegas ke KL dan sampai tepat pada masanya.
Federal Highway masih lagi lancar walau pun sudah banyak kenderaan bertali arus
menuju ke arah Kuala Lumpur.
“Angah, along dah keluar office. Dah bagitahu kak
Meen ke along nak datang ni?”
“Dah...”
“Angah jangan lambat tau.”
“Ya...”
“Kalau lambat nanti jalan jam.”
“Kalau along letak telefon, angah boleh cepat
siap kerja. Bila kerja cepat siap, angah boleh balik on time.”
“Oh okey.” Patutlah makcik ni moody, mesti tengah
banyak kerja.
Lagi lima minit ke pukul 6.00 petang dia sudah
sampai di hadapan pejabat Munirah. Tak sabarnya hendak jumpa Nur Tasnim. Penat
dia menahan perasaan selama sebulan tidak berjumpa, maklumlah dalam tempoh itu
Yasmeen kan sedang berpantang. Jadi dia tak mahu menganggu. Dia takut
kehadirannya akan menambah sedih di hati Yasmeen.
Tuk, tuk, tuk.
Kunci pintu kereta dia buka. Munirah terus masuk
dan duduk. Kalau tak kerana Nur Tasnim jangan haraplah Ariel hendak meredah
kesesakkan lalu lintas ke Kuala Lumpur. Selalunya dialah yang dipaksa naik
Putra LRT ke stesen Asia Jaya dan Ariel akan mengambilnya di situ.
“Kenapa along baik sangat hari ni?”
Ariel tersenyum kecil. “Cik adik, bagilah salam
dulu.”
“Hi along.”
“Itu salam ke?”
“Hish... assalamualaikum along!” sengaja suaranya
ditinggikan sedikit.
Ketawanya terhambur keluar. “Tak baik marah-marah
angah, nanti cepat tua. Dahlah belum kahwin.”
“Bab kahwin tu sensitif ya.”
Ketawa Ariel masih lagi bersambung. “Ya lah, ya
lah.” Orang perempuan ni memang sensitif kut kalau tiba bab kahwin. Lagi-lagi
si Munirah ni, kalau kita sebut soal kahwin sensitifnya bukan main!
“Kak Meen macam mana?”
Munirah menoleh memandang Ariel yang sedang
memandu di sebelah. Kadang-kadang dia tak faham dengan tingkah abangnya. Kenapa
melepaskan jika cinta?
“Nur Tasnim macam mana?”
“Along nak angah jawab yang mana satu dulu? Kak
Meen atau Nur Tasnim?” padahalnya hari-hari dia update along tentang mereka
berdua. Masih lagi ingin bertanya.
“Nur Tasnim makin comel long, kadang-kadang tu
angah rasa nak picit-picit aja pipi tembam dia. Along tengok tak instagram
angah?”
“Hmm..”
“Gambar Nur Tasnim tengah tidur menongeng. Comel
sangat.”
Ariel menganggukkan kepala. Gambar itulah yang
membuatkan dia semakin tidak sabar hendak menatap wajah si comel.
“Kak Meen pun dah slim dan makin comel.” Perlahan
saja Munirah bersuara dan hampir tidak kedengaran.
Ariel mendiamkan diri, dia tidak mahu komen
apa-apa. Bahaya! Lagi pun tak manis dia nak komen mengenai Yasmeen yang baru
kematian suami tu. Jadi biarlah komen tentang Yasmeen tu dia siampan sendiri
dalam hati.
“Along...”
“Ya.”
“Dengar tak angah kata, kak Meen makin comel.”
“Dengar.”
“Tak nak komen apa-apa ke?”
Betullah adiknya yang seorang ni. Hendak dimarah
dia bukan budak kecil lagi, bila tidak ditegur mulutnya tu macam murai bertanya
itu ini. Ikutkan hatinya macam-macam yang hendak ditazkirahkan pada Munirah
tetapi apabila memikirkan Munirah saja sumber maklumatnya, semua itu dia tahan
dalam hati.
“Tak ada apa nak komen ngah.” Akhirnya itulah
yang dia jawab supaya dapat menutup mulut Munirah.
“Along, nanti kita share beli bunga telur nak
tak?”
“Hah? Bunga telur? Angah nak kahwin ke?” hampir
terlepas stering kereta dari pegangan tangannya dengan permintaan Munirah
sebentar tadi.
“Bukan untuk angah, ni untuk majlis akikah Nur
Tasnim. Boleh ya along?”
“Oh okey, ajaklah kak Meen pergi beli.” Faham
benar dia dengan perangai Yasmeen yang sedikit cerewet bab kerja tangan ni.
Maklumlah syarikat dia kan menguruskan perkara yang begitu.
“Minggu depan nak kita pergi sekali?”
“Okey je.”