Followers

Friday 2 November 2012

Bab 14: Cerita buat Kekasih



Ariel keluar semula ke ruang tamu. Yasmeen sedang memangku Nur Tasnim. Munirah pula di dapur berpandukan pada suaranya yang bertanyakan mana teh, mana gula. Munirah buat air? Macam tak percaya!
“Mak bidan tu datang bila Meen?” soal hajah Fatimah.
“Sikit lagi kut sampai.”
Kalau tak kerana melahirkan Nur Tasnim mungkin dia tidak berpeluang melihat Yasmeen memakai kain batik. Kelakar tapi nampak comel!
“Abah, ibu, saya balik dululah.” Pinta Ariel canggung. Manalah dia tidak canggung, sudah lama tidak berjumpa dengan mereka hinggalah semalam. Kalau tidak kerana perjumpaannya dengan Yasmeen dulu tu, mungkin sampai sekarang dia tak akan jumpa dengan mereka.
“Minumlah dulu.”
“Tak apalah Meen, I dah lambat ni.”
“Minumlah dulu Ariel, susah-susah je adik kamu ni bancuh air.” Pelawa Haji Dzulkefli pula. Kisah lama tu biarlah dia buang jauh. Masa menginjak dan mungkin manusia juga akan berubah.
“Ya lah. Boleh I dukung Nur Tasnim?”
Nur Tasnim yang comel sudah bertukar tangan. Yasmeen memandang Ariel, terpancar rasa kasih sayang tu di matanya.
“Hello sayang.” Baru inilah dia dapat mendukung Nur Tasnim. Yalah, tak kanlah dia hendak berebut dengan semua orang. Dia pun sedar diri juga... dia tak mahulah ada orang salah sangka dengan huluran kasih sayangnya.
“Along dah nak balik ke? Kejaplah tunggu angah.” Munirah menatang talam yang berisi cawan dan teko teh. Di belakangnya pula Aiman sedang membawa piring berisi biskut.
“Ya... tengah tunggulah ni.” Pipi mungil Nur Tasnim dicuit dengan belakang jari telunjuk.
“Minumlah pakcik, makcik.” Munirah meletak cawan air teh cina di hadapan pakcik Dzulkefli dan makcik Fatimah.
Berkerut muka Haji Dzulkefli melihat wap-wap nipis yang membawa bau teh cina. Dia boleh lagi minum teh O tapi bukan teh cina yang tak ada rasa apa di lidahnya ini. Boleh pulak bekas menantunya ini minum  teh cina tu.
Apabila orang dah hidang, dia kena minum juga, tak baik tolak rezeki. Tapi mukanya sudah bertukar warna hijau, merah, kuning macam trafic light apabila air teh cina itu melalui kerongkongnya. Dia pandang dari ekor mata, Ariel bekas menantunya itu minum teh cina tu seperti tak ada-apa. Orang muda, mungkin sudah biasa. Tengoklah tu adiknya si Munirah tu siap boleh tambah lagi. Hmm... dia hendak habiskan secawan ni pun seksa rasanya.
“Okey, dah jom along. Pakcik, makcik, angah balik dululah.”
Munirah bersalaman dengan makcik Fatimah, kak Yasmeen dan kak Aiman. Sedih rasanya hendak berpisah dengan si comel Nur Tasnim ni. “Sini, mak ngah nak peluk Nur Tasnim.”
Ariel mengelengkan kepala dengan perangai ‘mak ngah’ ni. Habis digomolnya pipi Nur Tasnim hingga menguit-nguit si kecil tu dari dalam bedungnya. “Nanti mak ngah datang balik ya.”
“Angah, kesian Nur Tasnim tu.” Kalau tidak ditegur boleh hilang ingatan si Munirah ni!
“Kejaplah along.”
Tengok tu, ada saja alasan dia untuk melengahkan masa dan dia boleh gomol Nur Tasnim. Tak tahulah dia macam mana jadinya bila dia sudah duduk sini nanti.
“Along dah lambat ni.” Bisik Ariel perlahan di sebelah Munirah. Alasan! Ini hanyalah alasannya sebab dia rasa kekok bersama dengan Yasmeen di hadapan semua orang yang sentiasa memerhatikannya. Macamlah dia tak perasan bekas bapak mertuanya tu memandang dia minum tadi dari hujung mata.
“Jom, jom, mak ngah balik dulu ya Nur Tasnim.” Berat sungguh rasa hati hendak berpisah dengan Nur Tasnim. Tak apalah, dia akan packing malam ni semua barang-barangnya. Biar dia boleh cepat datang dan tinggal di sini.
“Terima kasih sudi datang.”
“Sama-sama.” Hatinya belas melihat Yasmeen dalam keadaan seperti ini. Kematian suami kemudian seorang diri pula hendak menguruskan Nur Tasnim. Mulutnya ringan saja hendak menyuruh Yasmeen menelefonnya jika perlukan pertolongan. Tetapi macam tak manis pula. Sejak apa yang terjadi dalam hubungan mereka, dia sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata. Dia tak mahu ada orang salah faham dengan niat baiknya.