Ariel keluar semula ke ruang tamu. Yasmeen sedang
memangku Nur Tasnim. Munirah pula di dapur berpandukan pada suaranya yang
bertanyakan mana teh, mana gula. Munirah buat air? Macam tak percaya!
“Mak bidan tu datang bila Meen?” soal hajah
Fatimah.
“Sikit lagi kut sampai.”
Kalau tak kerana melahirkan Nur Tasnim mungkin
dia tidak berpeluang melihat Yasmeen memakai kain batik. Kelakar tapi nampak comel!
“Abah, ibu, saya balik dululah.” Pinta Ariel
canggung. Manalah dia tidak canggung, sudah lama tidak berjumpa dengan mereka
hinggalah semalam. Kalau tidak kerana perjumpaannya dengan Yasmeen dulu tu,
mungkin sampai sekarang dia tak akan jumpa dengan mereka.
“Minumlah dulu.”
“Tak apalah Meen, I dah lambat ni.”
“Minumlah dulu Ariel, susah-susah je adik kamu ni
bancuh air.” Pelawa Haji Dzulkefli pula. Kisah lama tu biarlah dia buang jauh.
Masa menginjak dan mungkin manusia juga akan berubah.
“Ya lah. Boleh I dukung Nur Tasnim?”
Nur Tasnim yang comel sudah bertukar tangan.
Yasmeen memandang Ariel, terpancar rasa kasih sayang tu di matanya.
“Hello sayang.” Baru inilah dia dapat mendukung
Nur Tasnim. Yalah, tak kanlah dia hendak berebut dengan semua orang. Dia pun
sedar diri juga... dia tak mahulah ada orang salah sangka dengan huluran kasih
sayangnya.
“Along dah nak balik ke? Kejaplah tunggu angah.”
Munirah menatang talam yang berisi cawan dan teko teh. Di belakangnya pula
Aiman sedang membawa piring berisi biskut.
“Ya... tengah tunggulah ni.” Pipi mungil Nur
Tasnim dicuit dengan belakang jari telunjuk.
“Minumlah pakcik, makcik.” Munirah meletak cawan
air teh cina di hadapan pakcik Dzulkefli dan makcik Fatimah.
Berkerut muka Haji Dzulkefli melihat wap-wap nipis
yang membawa bau teh cina. Dia boleh lagi minum teh O tapi bukan teh cina yang
tak ada rasa apa di lidahnya ini. Boleh pulak bekas menantunya ini minum teh cina tu.
Apabila orang dah hidang, dia kena minum juga,
tak baik tolak rezeki. Tapi mukanya sudah bertukar warna hijau, merah, kuning
macam trafic light apabila air teh cina itu melalui kerongkongnya. Dia pandang
dari ekor mata, Ariel bekas menantunya itu minum teh cina tu seperti tak
ada-apa. Orang muda, mungkin sudah biasa. Tengoklah tu adiknya si Munirah tu
siap boleh tambah lagi. Hmm... dia hendak habiskan secawan ni pun seksa
rasanya.
“Okey, dah jom along. Pakcik, makcik, angah balik
dululah.”
Munirah bersalaman dengan makcik Fatimah, kak
Yasmeen dan kak Aiman. Sedih rasanya hendak berpisah dengan si comel Nur Tasnim
ni. “Sini, mak ngah nak peluk Nur Tasnim.”
Ariel mengelengkan kepala dengan perangai ‘mak
ngah’ ni. Habis digomolnya pipi Nur Tasnim hingga menguit-nguit si kecil tu
dari dalam bedungnya. “Nanti mak ngah datang balik ya.”
“Angah, kesian Nur Tasnim tu.” Kalau tidak
ditegur boleh hilang ingatan si Munirah ni!
“Kejaplah along.”
Tengok tu, ada saja alasan dia untuk melengahkan
masa dan dia boleh gomol Nur Tasnim. Tak tahulah dia macam mana jadinya bila
dia sudah duduk sini nanti.
“Along dah lambat ni.” Bisik Ariel perlahan di
sebelah Munirah. Alasan! Ini hanyalah alasannya sebab dia rasa kekok bersama
dengan Yasmeen di hadapan semua orang yang sentiasa memerhatikannya. Macamlah
dia tak perasan bekas bapak mertuanya tu memandang dia minum tadi dari hujung
mata.
“Jom, jom, mak ngah balik dulu ya Nur Tasnim.” Berat
sungguh rasa hati hendak berpisah dengan Nur Tasnim. Tak apalah, dia akan
packing malam ni semua barang-barangnya. Biar dia boleh cepat datang dan
tinggal di sini.
“Terima kasih sudi datang.”
“Sama-sama.” Hatinya belas melihat Yasmeen dalam
keadaan seperti ini. Kematian suami kemudian seorang diri pula hendak
menguruskan Nur Tasnim. Mulutnya ringan saja hendak menyuruh Yasmeen
menelefonnya jika perlukan pertolongan. Tetapi macam tak manis pula. Sejak apa
yang terjadi dalam hubungan mereka, dia sentiasa berhati-hati dalam
berkata-kata. Dia tak mahu ada orang salah faham dengan niat baiknya.
Salam Lia,
ReplyDeleteYeahhhhh, dah lama x jenguk sini sampai tertinggal banyak cerita..sekali harung baca dr bab 6-14...
Huwaaaa, tangkap leleh dengan kisah Yasmeen-Ariel ni...
Keep writing ye...
terima kasih dan doakanlah saya terus diberikan idea untuk menulis..
Deletelove