Followers

Thursday 21 March 2013

Bab 18: Cerita Buat Kekasih


Petang tu Sebelum pukul 5.00 petang dia sudah keluar dari pejabatnya yang terletak di Petaling Jaya Seksyen 13. Mujurlah petang ni tak hujan, jadi bolehlah dia bergegas ke KL dan sampai tepat pada masanya. Federal Highway masih lagi lancar walau pun sudah banyak kenderaan bertali arus menuju ke arah Kuala Lumpur.
“Angah, along dah keluar office. Dah bagitahu kak Meen ke along nak datang ni?”
“Dah...”
“Angah jangan lambat tau.”
“Ya...”
“Kalau lambat nanti jalan jam.”
“Kalau along letak telefon, angah boleh cepat siap kerja. Bila kerja cepat siap, angah boleh balik on time.”
“Oh okey.” Patutlah makcik ni moody, mesti tengah banyak kerja.
Lagi lima minit ke pukul 6.00 petang dia sudah sampai di hadapan pejabat Munirah. Tak sabarnya hendak jumpa Nur Tasnim. Penat dia menahan perasaan selama sebulan tidak berjumpa, maklumlah dalam tempoh itu Yasmeen kan sedang berpantang. Jadi dia tak mahu menganggu. Dia takut kehadirannya akan menambah sedih di hati Yasmeen.
Tuk, tuk, tuk.
Kunci pintu kereta dia buka. Munirah terus masuk dan duduk. Kalau tak kerana Nur Tasnim jangan haraplah Ariel hendak meredah kesesakkan lalu lintas ke Kuala Lumpur. Selalunya dialah yang dipaksa naik Putra LRT ke stesen Asia Jaya dan Ariel akan mengambilnya di situ.
“Kenapa along baik sangat hari ni?”
Ariel tersenyum kecil. “Cik adik, bagilah salam dulu.”
“Hi along.”
“Itu salam ke?”
“Hish... assalamualaikum along!” sengaja suaranya ditinggikan sedikit.
Ketawanya terhambur keluar. “Tak baik marah-marah angah, nanti cepat tua. Dahlah belum kahwin.”
“Bab kahwin tu sensitif ya.”
Ketawa Ariel masih lagi bersambung. “Ya lah, ya lah.” Orang perempuan ni memang sensitif kut kalau tiba bab kahwin. Lagi-lagi si Munirah ni, kalau kita sebut soal kahwin sensitifnya bukan main!
“Kak Meen macam mana?”
Munirah menoleh memandang Ariel yang sedang memandu di sebelah. Kadang-kadang dia tak faham dengan tingkah abangnya. Kenapa melepaskan jika cinta?
“Nur Tasnim macam mana?”
“Along nak angah jawab yang mana satu dulu? Kak Meen atau Nur Tasnim?” padahalnya hari-hari dia update along tentang mereka berdua. Masih lagi ingin bertanya.
“Nur Tasnim makin comel long, kadang-kadang tu angah rasa nak picit-picit aja pipi tembam dia. Along tengok tak instagram angah?”
“Hmm..”
“Gambar Nur Tasnim tengah tidur menongeng. Comel sangat.”
Ariel menganggukkan kepala. Gambar itulah yang membuatkan dia semakin tidak sabar hendak menatap wajah si comel.
“Kak Meen pun dah slim dan makin comel.” Perlahan saja Munirah bersuara dan hampir tidak kedengaran.
Ariel mendiamkan diri, dia tidak mahu komen apa-apa. Bahaya! Lagi pun tak manis dia nak komen mengenai Yasmeen yang baru kematian suami tu. Jadi biarlah komen tentang Yasmeen tu dia siampan sendiri dalam hati.
“Along...”
“Ya.”
“Dengar tak angah kata, kak Meen makin comel.”
“Dengar.”
“Tak nak komen apa-apa ke?”
Betullah adiknya yang seorang ni. Hendak dimarah dia bukan budak kecil lagi, bila tidak ditegur mulutnya tu macam murai bertanya itu ini. Ikutkan hatinya macam-macam yang hendak ditazkirahkan pada Munirah tetapi apabila memikirkan Munirah saja sumber maklumatnya, semua itu dia tahan dalam hati.
“Tak ada apa nak komen ngah.” Akhirnya itulah yang dia jawab supaya dapat menutup mulut Munirah.
“Along, nanti kita share beli bunga telur nak tak?”
“Hah? Bunga telur? Angah nak kahwin ke?” hampir terlepas stering kereta dari pegangan tangannya dengan permintaan Munirah sebentar tadi.
“Bukan untuk angah, ni untuk majlis akikah Nur Tasnim. Boleh ya along?”
“Oh okey, ajaklah kak Meen pergi beli.” Faham benar dia dengan perangai Yasmeen yang sedikit cerewet bab kerja tangan ni. Maklumlah syarikat dia kan menguruskan perkara yang begitu.
“Minggu depan nak kita pergi sekali?”
“Okey je.”