Masuk ke ruangan kafeteria, memang kebetulan ada
beberapa pekerja kilang yang sedang duduk minum petang. Mungkin dari syif pagi,
entahlah dia bukan tahu sangat tentang bahagian production ni. Hidungnya sudah
kembang kincup menahan senyuman ketika sedang berjalan beriringan dengan Ariel.
“Encik Ariel nak kuih apa? I tolong belikan.”
“Tak apa, I beli kan. You nak apa?”
“Apa-apa ajalah.”
Ariel menuju ke kauter makanan. Di situ ada kuih
cucur badak, karipap dan popiah. Dia pilih dua ketul cucur badak, popiah goreng
dan kuih karipap beserta dua gelas teh tarik. Selepas membayar harga kuih dan
air dia menatang talam yang berisi piring kuih dan air teh tarik menuju ke meja
yang terletak di tengah kafeteria.
“I tak tau you suka apa, jadi I pilih semua.”
“I okey aje.” Balas Zetty dalam senyuman yang
berbunga.
“Jemputlah makan.” Pelawa Ariel selepas
dilihatnya Zetty hanya meneguk teh tarik.
Sambil makan mereka berbual tentang kerja dan
ketika sampai ke suapan cucur badak yang terakhir, telefon bimbitnya berbunyi.
“Sekejap ya Zetty.”
Skrin Samsung Galaxy S III di sentuh.
“Assalamualaikum angah.”
“Along kat mana ni?”
“Office, kenapa? Nur Tasnim sihat?” jarang
Munirah hendak menelefon waktu begini.
“Sihat... Nur Tasnim minum susu banyak tau along.
Dua jam sekali dia nak minum susu. Kadang-kadang kesian kak Meen kena bangun
tengah malam.”
“Kenapa angah tak tolong.”
“Nur Tasnim nak minum susulah...” along ni macam
tak faham pula yang Nur Tasnim tu minum susu ibu.
“Oh okey.”
“Angah dengan kak Meen pun sihat, just in case
kalau along nak tahu.”
Ariel ketawa perlahan. “Ada apa call along ni?”
“Ni hah semalam, kak Meen kata nak cari kerja.
Kut-kut kalau ada kosong kat office kawan-kawan along, bolehlah bagi kat kak
Meen.”
“Kenapa pula nak kak Meen nak cari kerja?”
setahunya Yasmeen berniaga bersama dengan Aiman.
Zetty memasang telinga mendengar perbualan di
antara Ariel dan adiknya, mungkinlah kut sebab sudah ber‘along’ dan ber‘angah’.
Tetapi siapa pula kak Meen dan Nur Tasnim tu? Wah ramai betul nama perempuan
yang disebut oleh Ariel. Teh tarik yang tinggal separuh dihirupnya perlahan dan
masih mengamati perbualan Ariel dengan adiknya.
“Kak Meen kan dah ada Nur Tasnim, mungkin dia nak
cari pendapatan lebih.”
“Ya lah, nanti along tolong tanyakan. Between
malam ni along datang rumah. Mak kak Meen dah balik ke belum?” sudah sebulan
Yasmeen keluar dari hospital dan sepanjang tempoh itu memang dia tidak ke rumah
Yasmeen. Tapi jangan bimbang kerana ada Munirah yang akan tolong update cerita
terkini Nur Tasnim dan mummynya. Kadang-kadang gambar botol susu Nur Tasnim pun
dia MMS kan.
“Dah balik dua hari lepas. Kak Meen pun dah sihat
dah, makcik Fatimah pun baliklah kampung tapi kak Rozi adalah.”
Ariel tersenyum lebar. Lega sikit hatinya apabila
tahu bekas mak mertuanya itu sudah balik kampung. Dia tak selesa betul jika ada
kehadiran mereka. Lagi-lagi bekas bapa mertuanya tu. Kak Rozi bidan yang diupah
oleh Yasmeen tu dia tidaklah kisahkan sangat. “Angah balik sama dengan
alonglah.”
“Ya lah, along jangan lambat pulak.”
“Okey, kita jumpa after office ya.” Ariel
meletakkan telefonnya atas meja dan meneguk teh tarikh yang sudah sejuk.
“Adik ke?”
“Ha’a.”
“Mesti encik Ariel ni abang yang baik.”
Ariel terenyum kecil. “Biasa aja.” Zetty tidak
kenal dia yang dahulu dan tidak perlu juga kenal dia yang sekarang. “Jomlah,
kita ada kerja ni.” Sambung Ariel sebelum Zetty bertanyakan yang bukan-bukan.
“Okey.” Senyuman Zetty bertambah lebar setiap
kali berpapasan dengan pekerja dari bahagian production dan management office.
Siapa yang tak bangga kalau dapat keluar makan dengan big boss yang ada jawatan
tinggi.