Azalea duduk bersila di kerusi batu bawah
pokok ketapang tepi padang sekolah. Inilah tempat kegemarannya pada waktu rehat.
Bekalan makanan yang dibawa dari rumah dibuka dan diletakkan di hadapannya.
Sejak dahulu, dia memang suka membawa bekal untuk menjimatkan belanja dan
menambahkan wang tabungannya.
“Hei Iya, dari tadi aku tengok kau terukmat-kamit,
kau kira apa ni?”
“Kira duitlah nak beli soalan percubaan.”
“Kita share beli ajalah. Kau beli lima
subjek, aku beli lima. Lepas tu kita fotostat aje lah. Lagi jimat.”
Azalea senyum. “Kadang-kadangkan otak kau
ni boleh tahan bijak.”
“Mestilah.” Najwa tersenyum lebar sebelum
menyambung semula kata-katanya. “Nak lepak kat sekolah tak hari ni?”
Lepak kat sekolah nak buat apa?” soal
Azalea. Tak pernah-pernah Najwa ajak dia lepak di sekolah.
“Hari ni ada latihan kawad pengakap lah.”
Terang Najwa.
“Okey, habis tu kau nak buat apa? Nak
berkawad jugak ke Naj?”
“Kau nilah... bolehlah kau tengok Qiyaman
dan aku tengok Nurhan.”
Oh Qiyaman. “Aku letihlah.”
“Qi.” Gesa Najwa lagi. Azalea ni peminat
setia pada Qiyaman. Penolong Ketua Pengawas yang paling terkenal dan popular di
sekolah.
Terkenal kerana dia comel dan ada karisma
berbanding dengan ketua pengawas, Nurhan. Si Azalea ni memang minat sangat
dengan Qiyaman hinggakan dia akan tulis tarikh dan jam untuk setiap
pertemuannya dengan Qiyaman dalam diari.
“Tahu, tapi aku letih sangat. Semalam kan
aku tolong mak aku kat pasar tani. Esok dah nak kena siap-siap untuk meniaga
kat pekan Rabu pulak. Hari ni aja yang aku ada masa nak rehat kat rumah lepas
sekolah.
“Kalau kau tak mahu, aku pun tak jadilah.”
“Ikut aku buat apa? Nak tengok Nurhan tu
pergi ajalah. Nanti kalau kau rindu kat Nurhan tu aku yang susah.”
“Tak naklah, malu.”
“Malu konon...” Azalea menolak bahu Najwa
perlahan sambil tersenyum mengusik.
“Eh hari ni kau bawak bekal apa?” tanya
Najwa yang ketika itu sedang membuka bekalan yang dibawa.
“Roti burger telur aja. Abah aku semputlah
malam tadi.”
“Alah kesiannya. Kita kongsilah makan bihun
goreng aku ni.” Balas Najwa sambil membuka bekalannya.
“Qi, Qi.” Azalea sedikit kelam kabut
ketika dia ternampak Qiyaman sedang berjalan di tepi padang sekolah dengan
gayanya yang tersendiri yang suka menyingsing lengan kemeja putihnya hingga
pertengahan lengan.
Uhuk, Uhuk.
Aduh dia tersedak cili dari bihun goreng
Najwa ketika Qiyaman betul-betul sedang lalu berhampiran mereka. “Air, air.”
Azalea tergesa-gesa membuka botol air dan meneguknya. Ketika dia sedang meneguk
air yang di isi dalam botol mineral tulah, Qiyaman sudah berdiri di hadapannya.
Uhuk, Uhuk, bertambah kuat tersedaknya. Benci!
Sekali lagi dia tersedak tapi kali ini dia tersedak air pula.
“Awak okey ke?” Qiyaman memandang wajah
merah padam di hadapannya. Merah padam yang membuatkan dia nampak sangat comel.
Azalea hanya angguk kepala dan matanya
bulat memandang Qiyaman yang sudah melutut di kakinya. Ini adalah kali pertama
dia begitu hampir dengan Qiyaman.
“Lain kali makan tu hati-hati.” Nasihat Qiyaman
dalam senyuman.
Azalea angguk kepala lagi. Hari ini pertama
kali dalam hidupnya bercakap dengan Qiyaman dalam jarak yang sebegini dekat. Dia
rasa nak lompat tinggi-tinggi sampai ke langit!
“Qi kau buat apa tu?”
Tegur satu suara dan mereka bertiga
menoleh ke arah suara itu. Dia, Najwa dan Qiyaman memandang ke arah Nurhan yang
sedang berjalan menghampiri mereka.
“Tak ada apa.” Balas Qiyaman sambil bangun
dan mengibas seluarnya di bahagian lutut dengan tangan kanan.
“Jom, lepas habis waktu rehat ni kita ada spotcheck.” Nurhan berjalan pantas di
hadapan Qiyaman.
Qiyaman menoleh sekilas ke belakang.
Memandang budak perempuan yang merah padam mukanya kerana tersedak tadi. “Lain
kali makan tu jangan gelojoh, perlahan-lahan supaya tak tersedak.” Ucap Qiyaman
sebelum pergi bersama Nurhan.
Budak comel yang dia suka lihat. Dia selalu
nampak budak ni setiap hari Rabu, menolong emaknya yang berniaga nasi lemak.
Dia hanya akan singgah di gerai tu selepas hantar Husna ke sekolah dan biasanya
ketika dia sampai budak perempuan comel tu sudah pun pergi ke sekolah.
“Spotcheck?” Najwa dan Azalea berpandangan
sesama sendiri.
“Alamak! Matilah aku bawak majalah.” Keluh
Azalea.
“Kau pun satu, pergi bawak buat apa?”
“Kau yang kata nak pinjam majalah Remaja
tu kan.” Majalah Remaja tu dia sudah balut dengan kertas kalendar warna putih. Harap
tak adalah pengawas yang perasan.
“Cepat makan.” Arah Najwa dan kunyahan
semakin laju. Kalau dalam keadaan darurat macam ni, mereka biasanya akan
sorokkan majalah atau novel di perpustakaan. Biasanya taktik tu akan selamat.
Kring!! Kelam kabut mereka berdua berlari ke
kelas yang terletak di aras dua, blok B. Tetapi hari ini memang nasibnya
malang. Ketika mereka sampai di hadapan pintu kelas, sudah ada lima orang
pengawas di dalam kelas. Antaranya ialah Qiyaman.
“Semua pelajar berdiri kat belakang.” Arah
Qiyaman tegas sambil memegang beg yang tersangkut di belakang kerusi meja
terakhir tepi tingkap.
“Meja siapa ni?” matanya tajam memandang
ke belakang kelas.
“Matilah aku Naj.”
“Habis, habis.” Balas Najwa ngeri. Semua
orang tahu Qiyaman adalah pengawas yang sangat tegas dan tidak akan memberi
muka kepada sesiapa saja yang melakukan kesalahan.
“Saya tanya, meja siapa ni?”
“Saya.” Azalea mengangkat tangan kanannya
tinggi dan berjalan ke arah mejanya.
“Meja awak?”
Azalea angguk kepala. Takutnya apabila
Qiyaman sudah mengambil majalah Remaja miliknya.
Hatinya jadi lembut mengingatkan Azalea
yang rajin menolong emaknya dan mungkin majalah Remaja ni sebagai bahan untuk
dia melepaskan lelah. Alah.. Dia pun menjadikan ini sebagai alasan untuk jumpa
Azalea petang nanti.
Tak boleh awal seminit dan tak boleh lebih
seminit! Ni nak membuli ke apa ni? Ke nak ajak dating? Senyumannya melebar. Hatinya
berbunga riang.
“Naj, balik nanti aku nak singgah library
sekejap.”
“Okey, aku pun nak pinjam buku.”
Alamak! Macam mana ni? “Aku pergi sorang
pun tak apa, kau nak pinjam buku apa? Aku boleh tolong pinjamkan.”
“Aku nak pinjam novel kut.”
“Novel apa? Aku pinjamkan untuk kau. Nanti
kau tunggulah kat bawah.” Tolonglah Najwa. Doa Azalea dalam hati.
“Kau ni dah kenapa? macam tak bagi aku
pergi library aje?” balas Najwa geram sambil berdiri bercekak pinggang
memandang Azalea.
“Hish... tanya macam tu pun nak marah.
Habis aje kelas terus pergi.”
Tengah
hari tu, habis saja kelas akhir. Azalea terus menarik tangan Najwa ke
perpustakaan. Mereka akan sampai lima belas minit awal, nanti dia akan pura-pura
teman Najwa cari novel yang dia suka tu.
“Fuh...”
“Eh
kau ni kenapa? tiba-tiba nak fuh, fuh...”
“Oh
habuklah.” Dalih Azalea sedikit gugup.
1.40.58
saat. Dia sudah berdiri di sebalik rak buku sambil memandang jam digital di
tangannya. Tepat 1.41 petang, dia menjenguk ke bahagian tengah barisan rak. Ya
Allah! Bila masa Qiyaman ada kat di situ? Bila dia masuk? Dia melangkah
menghampiri Qiyaman yang sedang berpeluk tubuh memandang ke arahnya.
“Tepat
1.41 petang.” Terang Azalea perlahan sambil menunjukkan jam tangan digitalnya.
“Pusing
kiri, rak bawah, barisan buku nombor lima dari kanan.” Arah Qiyaman dalam suara
yang perlahan tetapi sengaja ditegaskan.
“Hah?”
“1
minit dari sekarang, 55 saat.” Ketawanya hampir meletus memandang Azalea yang
kelam kabut mengikut arahannya.
“Kanan, barisan buku nombor lima.” Bisik
Azalea perlahan.
“20
saat.”
“Tadaa...”
Azalea mengangkat tinggi majalahnya yang berbalut kertas warna putih.
“Bagus.”
Ucap Qiyaman perlahan sambil berjalan menghampiri Azalea.
“Thanks.”
“Thanks
aje? Belanjalah nasi lemak ke? Kuih ke?”
“Rasuah
boleh menghancurkan ekonomi negara.”
“Bukan
rasuah tapi tanda penghargaan.”
“Setiap
orang wajib laporkan kegiatan rasuah seperti yang dinyatakan dalam Akta SPRM
2009.” Azalea bersuara tegas. Fuhh nasib baik dia baru baca semalam di internet
sebagai bahan rujukan untuk latihan karangan bahasa Malaysia nya.
Qiyaman
mengangkat kedua belah tangannya ke atas. Baru hendak membalas terdengar suara
kawan baik Azalea memanggil namanya.
“Iya,
kau kat mana?”
“Okey
bye.” Azalea terus keluar daripada barisan tengah rak buku sambil memasukkan
majalah remaja ke dalam beg sekolahnya.
“Bye.”
Balas Qiyaman tak rela.
“Kau
ni dalam library pun nak cakap kuat-kuat macam kat pasar.”
“Yalah...
dah kau senyap aje.”
“Dah
jumpa buku yang kau nak pinjam?”
“Dah...
ni hah.” Najwa menunjukkan 2 buah buku yang dia hendak pinjam ke arah Azalea.
“Jomlah
pergi kaunter. Aku nak balik cepat ni, takut terlepas bas.”
Selesai
urusan di kaunter peminjaman buku, Azalea dan Najwa meninggalkan perpustakaan
sekolah. Tahu tak? Arah rumah dia dan Qiyaman satu hala. Hari ini pula, bas
yang dinaikinya berhenti di hadapan rumah Qiyaman. Kepalanya menoleh ke arah
derap kasut dari arah belakang. Dia hendak tahu siapa pula yang turun di sini. Eh?
Apa Qiyaman buat dalam bas ni? Tadi tak nampak pun.
Qiyaman
senyum. “Lain kali jangan bawak majalah datang sekolah.” Ucap Qiyaman sambil
mengenyitkan sebelah matanya sebelum dia turun ikut pintu hadapan bas. Tak
sia-sia dia menyorok kat tempat duduk belakang bas apabila nampak Azalea naik
bas tadi.
Azalea
senyum lebar, sumpah mati dia akan tulis fasal ni dalam diari!
Ketika dia masuk ke dapur pagi tu mak
sedang menumis cili untuk buat sambal sotong kering. Seronoknya dia... hari ini
bolehlah bawa bekal nasi lemak sambal sotong kering. Bolehlah juga dia minta
emak bekalkan lebih untuk Najwa.
“Kenapa mak tak kejutkan Iya?” soal Azalea
memandang jam dinding di ruang tamu yang menunjukkan angka 5.00 pagi.
Sepatutnya dia bangun pukul 4.00 pagi. Boleh pula terbabas pagi ini.
“Mak terbangun awal tadi, tu yang cepat
habis masak. Tinggal sambal sotong kering ni aja.”
“Mak ni, kalau bangun awal pun kejutkanlah
Iya. Tak kisahlah pukul berapa pun.” Dia tak pernah sampai hati untuk lihat
emak bersusah payah bangun seorang diri macam ni.
“Tak apa, Abah pun bangun sama dengan emak
tadi.”
Azalea menoleh memandang ke arah Abah yang
sedang mengupas kulit telur. Walau pun abang tidak dapat melihat, tetap juga ingin
memberikan sumbangan. Ketika azan subuh berkumandang, semua lauk pauk dia dah
simpan elok-elok dalam kereta. Emak pula sedang membungkus nasi lemak RM1. Abah
pula macam biasalah, mesti akan duduk sebelah emak dan temankan emak buat
kerja.
Sementara tunggu Alina yang sedang mandi,
dia menyiapkan sarapan pagi Abah. Abah memang suka sangatlah ni dapat makan
nasi lemak lauk sambal sotong kering. Rutin mereka, selesai sediakan sarapan
untuk abah mereka akan terus keluar. Sebelum berniaga, emak akan hantar dulu
Alina ke sekolahnya. Kemudian barulah ke tapak berniaga di pekan Rabu.
Pagi ni cuaca baik, Alhamdullilah. Meja
lipat untuk emak berniaga dibuka dengan berhati-hati supaya tidak mengotorkan
baju kurung sekolahnya yang berwarna putih bersih. Kemudian dibentangkan pula plastik
alas meja warna biru berbunga daisy warna putih. Susun atur atas meja kena
sistematik sebab senang nanti emak hendak capai.
“Nak apa nak?” Hamidah menegur budak
lelaki yang berdiri di hadapan meja meniaganya apabila dilihat Azalea tunduk
saja melakukan kerjanya tanpa menyedari ada pelanggan di hadapannya.
Suara emak yang menegur pelanggan pertama
mereka menarik perhatiannya. Qiyaman rupanya yang datang beli nasi lemak. Eh
dia nak buat apa ni? Nak senyum lebar boleh tak? Tapi malulah nanti emak
nampak.
“Makcik saya nak nasi lemak sambal sotong
dua bungkus.” Pinta Qiyaman. Nasibnya baik sebab Azalea masih lagi ada membantu
emaknya. Bagi dia Azalea berbeza dengan budak perempuan lain yang dia pernah kenal.
Azalea ni orangnya sederhana dalam segala hal.
“Iya, tolong potongkan timun tu.” Pinta Hamidah.
Qiyaman memandang Azalea yang sedang
memotong timun. “Terima kasih makcik.” Ucap Qiyaman
selepas menghulurkan RM6 untuk dua bungkus nasi lemak sambal sotong. Ucap
terima kasih pada mak Azalea tetapi matanya memandang ke arah Azalea. Mahalnya
senyuman dia, bisik Qiyaman dalam hati.
“Azalea.” Panggil Qiyaman ketika dia lihat
Azalea melalui koridor menuju ke kelasnya.
Azalea berjalan laju tanpa mempedulikan
namanya yang sedang dipanggil. Orang dah lambatlah! Hari ni masa pertama adalah
kelas geografi cikgu Robitah, dia tak boleh lewat nanti kena denda.
Langkah
kakinya terhenti. Siapa pula yang nak panggil nama ‘Iya’ di sekolah melainkan
Najwa. Kepalanya menoleh ke belakang. Qiyaman lagi? Sejak dua menjak ni asyik
terjumpa Qiyaman saja
“Kenapa?”
“Awak
nampak comel kalau senyum.”
Qiyaman
tersenyum panjang memandang wajah Azalea yang terkejut dan matanya juga turut
bulat membalas pandangan matanya. Betul dia tak tipu dia memang suka pada Azalea
sejak pertama kali lihat Azalea di gerai nasi lemak tu sejak dahulu lagi.
“Saya memanglah comel.” Balas Azalea
sebelum berlalu meninggalkan Qiyaman. Tak malu sungguhlah!
Amboi pandainya dia menjawab. “Belajar
rajin-rajin.” Jerit Qiyaman perlahan dari belakang Azalea.
“Terima
kasih.” Hari ini dia memang sangat bersemangat untuk belajar. Maklumlah ada
orang yang berikan kata semangat kan.
“Hati-hati Iya.” Pesan Hamidah di hadapan
pintu rumah menghantar Azalea yang ada program Qiamullail di sekolah untuk
pelajar tingkatan tiga, lima dan enam atas.
“Baik mak.” Tak sabarnya dia hendak pergi
program Qiamullail bermula dari hari Jumaat pukul 5.00 petang dan akan berakhir
pada hari Sabtu pukul 9.00 pagi.
Ketika dia sampai di hadapan pagar sekolah,
Najwa sudah pun menunggunya. Siap berpayung pink lagi. Nasib baik dia tidak
pakai cermin mata gelap besarnya itu. Najwa, Najwa... kelakarlah dia ni.
“Makcik dah lama sampai ke?”
Najwa memandang jam di tangan. “Dah
setengah jam sampainya. Kau tu yang lambat.”
“Alah relek lah Naj baru pukul 4.30 petang.
Ada masa setengah jam lagi.” Najwa ni satu aja yang dia tak tahan suka datang
awal dari waktu yang dijanjikan.
“Buku skrap ada bawak tak?” Azalea
sepatutnya membawa buku skrap perpisahan – tajuk yang mereka berikan untuk buku
skrap ni.
“Ada, ni hah.” Azalea menunjukkan buku
skrap yang dia reka cantik, siap ada renda-renda merah putih di hadapan muka
buku skrap tu. Mereka akan bertukar-tukar buku skrap ni dengan kawan-kawan
sekelas yang lain sebagai kenangan.
“Apa tu?”
Azalea memandang Najwa sebelum dia menoleh
ke arah suara yang menegur mereka dari sebalik tembok batu pagar sekolah. Qiyaman
lagi?
“Buku skrap.” Jawab Najwa perlahan.
“Buku skrap?” Siap berenda-renda
mengalahkan langsir tingkap rumahnya!
“Tengok.” Qiyaman menghulurkan tangan
kanannya ke Najwa.
“Jangan nak rampas pula buku skrap saya
ni. Ini bukan waktu sekolah nak rampas-rampas.” Azalea memberikan amaran.
Sekarang ni dia sudah berani sedikit sebab sudah boleh menebak isi hati Qiyaman
padanya.
“Bukan ke saya kata nak tengok aja?”
garang juga Azalea ni, tapi jelingannya manja. Komen Qiyaman dalam hati.
Perlahan-lahan Najwa menyerahkan buku
skrap milik Azalea itu kepada Qiyaman tetapi matanya memandang Azalea yang
nampak tidak puas hati.
“Ini bukan waktu sekolah tau.” Sekali lagi
Azalea memberikan peringatan.
“Tahu.”
“Tahu, tahu... nanti awak rampas.”
“Tak rampas. Tapi saya nak pinjam boleh? Nanti
saya pulangkan.” Ucap Qiyaman sambil berjalan meninggalkan Azalea dan kawan
karibnya itu. Buku skrap diangkat tinggi seperti melambai ke arah mereka
berdua.
“Sweetnya dia... tak sabarlah nak tunggu
apa yang abang Qi tulis.”
“Ni sejak bila pula nak berabang-abang?”
geram betul dia dengan Najwa yang asyik tersenyum sipu. Mengalahkan peminat
setia Qiyaman.
“Dia kan lebih tua daripada kita, mestilah
kena panggil abang.”
“Malas nak layan.” Balas Azalea sambil
berjalan ke tempat pendaftaran.
Selepas mendaftar, mereka diberikan jadual
program Qiamullail. “Kena pergi dewan untuk taklimatlah.” Najwa menarik tangan
Azalea menuju ke dewan besar tempat taklimat diadakan pukul 5.30 petang nanti.
“Oh makan malam pukul 6.00 petang hingga
6.30 petang. Bagus, bagus.” Bisik Azalea.
“Makan aja yang kau ingat.”
Nasib baiklah taklimat mereka tu sekejap
aja. Itu pun untuk memberitahu kelas mana untuk tidur malam nanti. Pelajar
perempuan ada 25 orang dan pelajar lelaki 30 orang termasuk urus setia program.
Tadi mereka diberitahu akan tidur dalam kelas bangunan blok C yang telah
dibersihkan dan dikosongkan. Oh okeylah tu. Nasib baik dia ada bawa kain alas.
“Azalea.”
“Ya?” Qiyaman lagi?
“Ni sleeping bag untuk tidur malam nanti.”
“Sekolah bagi ke?” tadi tak sebut pun
dalam taklimat.
“Tak. Saya yang bagi pinjam pada awak.”
Ketika Qiyaman serahkan sleeping bag tu,
ramai mata yang memerhatikan mereka berdua. Malulah! Tapi dia seronok juga
apabila menjadi perhatian pelajar perempuan lain yang mungkin juga meminati
Qiyaman.
“Saya tak ada ke?” Najwa menyampuk daripada
sebelah Azalea. Nak mengurat Azalea kenalah ambil hati kawannya juga. Ini tak
adil.
“Oh saya bawa untuk Azalea aja. Sorry.”
Kejamnya! Wajah Najwa masam. Tak patut
betullah Qiyaman ni.
“Nanti saya tanya Nurhan, kut-kut dia boleh
pinjamkan sleeping bag dia.” Nurhan dan dia suka berkhemah, biasanya mereka ada
dua sleeping bag. Rumah Nurhan pun dekat aja dengan sekolah, bolehlah dia pergi
ambil sekejap.
“Okey.” Tak jadilah nak marah dengan
Qiyaman. Dia sudah tanda rait warna merah pada dahi Qiyaman untuk Azalea.
“Terima kasih.” Ucap Azalea dan Najwa serentak.
“Jom cop tempat tepi tingkap, sejuk sikit
malam nanti.” Kalau di rumah pun letak katilnya di tepi tingkap. Dia suka pada
angin yang bertiup. Kadang-kadang angin yang bertiup membawa bau lemak rumput
yang baru dipotong.
Selepas meletakkan barang-barang di atas lantai
yang sudah dibentangkan karpet nipis, mereka terus turun untuk makan malam. Rupa-rupanya
makanan diisi dalam bekas plastik berpetak-petak yang setiap satunya berisi,
nasi, ikan kembung goreng, sup sayur dan buah tembikai.
“Sedap juga kan sesekali makan macam ni.”
Azalea memandang Najwa yang leka meratah ikan kembung goreng. Kawannya itu
hanya menganggukkan kepala. Sedap sangatlah tu sampai dah tak boleh hendak
bersuara.
“Azalea, ini kari telur yang mak saya
bekalkan tadi.”
Azalea
memandang Qiyaman tidak berkelip, kemudian dia memandang pula Nurhan yang
sedang berdiri di sebelah Qiyaman. Kari telur? Emak? Apa ni?
“Mak saya bekalkan lebih tadi untuk makan
dengan kawan-kawan.” Jawab Qiyaman seperti memahami raut wajah Azalea yang
penuh tanda tanya.
“Kalau untuk kawan-kawan awak kenapa bagi
saya pulak?”
“Awak kan kawan saya juga. Lagipun Nurhan
tak suka kari telur.”
“Terima kasih.” Baiknya emak dia bekalkan
makanan lebih untuk kawan-kawan sekali. Boleh buat calon mak mertua ni. Bisik
Azalea nakal dalam hati sambil menyambut bekas warna kuning yang dihulur
Qiyaman,
“Najwa, ni untuk awak."
Azalea memerhatikan Najwa yang sedang
menyambut huluran sleeping bag dari Nurhan. Eloklah tu... Nurhan dan Najwa,
N&N macam gula-gula M&N. Colorful, manis, crunchy dan yummy!
“Makanlah cepat, lepas ni dah nak kena
bersiap untuk solat.” Qiyaman bersuara perlahan. Ruang makan semakin ramai
orang.
Selepas kuliah maghrib, mereka diberikan
pula ceramah “Remaja Cemerlang”. Kalau bab hendak mencari Qiyaman, matanya
memang tidak pernah silap. Lihatlah si dia di sana tu, memakai baju Melayu
warna putih dan seperti telepati pula apabila Qiyaman membalas pandangannya sambil
tersenyum.
Azalea yang memakai baju kurung kain kapas
warna putih dan polka dot biru itu amat manis di pandangan matanya. Bertambah
manis apabila dia memakai tudung warna biru lembut sedondon dengan warna polka
dot di bajunya. Jika sebelum ini dia suka memandang Azalea, tetapi malam ini
dia sudah jatuh cinta!
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud
pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk
berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu
ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
(Surah Al-Muzammil ayat 1-4).
Allahu akbar! Kalaulah dia tahu begini
nikmatnya Qiamullail yang diadakan di sekolah. Dia pasti akan daftarkan diri
setiap kali program ini diadakan. Menyesal pula apabila dia hanya berminat
dengan program ini kerana hendak lulus periksa SPM. Niatnya sudah salah.
Selepas kuliah subuh, dia dan Najwa menuju
ke kantin untuk sarapan pagi kira-kira jam 7.30 pagi. Program mereka ini
bermula dari jam 4.30 pagi dan peliknya dia langsung tidak rasa mengantuk di
sepanjang waktu kuliah subuh tadi.
“Naj, aku tak sangka pulak yang Qiamullail
ni sangat nikmat.” Dia tidak tahu hendak gambarkan dengan kata-kata. Lakukanlah
dan baru tahu macam mana rasanya nikmat tu.
“Aku pun. Kalaulah aku tahu macam ni punya
nikmat, memang tiap-tiap tahun aku nak ikut program ni.”
“Ya
lah, lepas ni aku tak nak culas solat lagi. Aku nak berubah dan belajar
sungguh-sungguh.” Balik nanti dia hendak minta maaf dengan mak dan abah balas
Azalea sungguh-sungguh dan penuh keinsafan.
“Betul. Aku pun.”
Selepas selesai sarapan dia dan Najwa terus
ke kelas untuk mengambil barang dan balik ke rumah. Namanya dipanggil dari
belakang ketika sedang menunggu bas untuk balik ke rumah.
“Selak halaman akhir.” Pesan Qiyaman ketika
menyerahkan buku skrap milik Azalea, semalam dia menulis dalam samar-samar
lampu koridor kelas. Kata-kata tu diambilnya daripada internet ketika menggoogle semalam kemudian diperbaiki
sedikit supaya lebih mudah untuk difahami.
Amboi! Siap beritahu kita mana hendak
tengok. “Terima kasih pulangkan semula.” Mereka hanya berbalas senyuman sebelum
bas sampai dan Qiyaman masih berdiri di stesen bas sehingga bas yang dinaikinya
bergerak.
Sungguh dia rasa tidak sabar hendak lihat
apa yang ditulis oleh Qiyaman. Sampai aja di rumah, dia terus menyelak ke
halaman yang terakhir seperti yang dipesan oleh Qiyaman tadi. Ada sekeping
surat yang berlipat. Eh kenapa dia tidak tulis di buku saja?
‘Allah
tidak pernah menjajikan bahawa langit akan selalu biru, bunga selalu mekar dan
matahari akan selalu bersinar. Tetapi ketahuilah akan ada matahari selepas
hujan lebat, akan ada senyuman selepas tangisan. Pasti ada hikmah di setiap
cubaan dan jawapan dalam setiap doa.
Hidup
ini adalah sebuah perjalanan. Satu perkara yang membuatkan kita bahagia adalah
kasih sayang. Satu perkara yang yang mendewasakan kita adalah masalah. Satu
perkara yang menjadikan kita kuat adalah doa. Teruskanlah berdoa dan
mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.’
Saya
suka lihat awak bertudung. Bertudunglah Azalea kerana Allah.
Qi
Nota dari Qiyaman ini buat dia sedar. Dia
mahu berubah, bukan kerana Qiyaman suka lihat dia bertudung. Tetapi program
Qiamullail yang disertainya telah menemukan dirinya dengan satu ketenangan. Ketenangan
yang tidak ternilai dengan wang ringgit. Dia bertekad mahu berhijrah ke arah
yang lebih baik dan Allah utuskan Qiyaman untuk menjadi jambatan penghijrahannya.
No comments:
Post a Comment