Cerita ini bukan tentang Laila dan Majnun
Cerita ini tentang kami
Kami yang mati kerana cinta
BAB 1
Azalea duduk bersila di kerusi batu bawah
pokok ketapang tepi padang sekolah. Inilah tempat kegemarannya pada waktu
rehat. Bekalan makanan yang dibawa dari rumah dibuka dan diletakkan di
hadapannya. Sejak dahulu, dia memang suka membawa bekal untuk menjimatkan
belanja dan menambahkan wang tabungannya.
“Hei Iya, dari tadi aku tengok kau
terukmat-kamit, kau kira apa ni?” Munira yang duduk di sebelah Azalea memandang
temannya penuh kehairanan. Macam nak bagi pinjam sepuluh jari tangan dan
sepuluh jari kaki. Senang sikit Azalea hendak mengira.
“Kira duitlah nak beli soalan percubaan.”
Munira di sebelah dipandang sekilas.
“Kita share beli ajalah. Kau beli lima
subjek, aku beli lima. Lepas tu kita fotostat aje lah. Lagi jimat.”
Azalea senyum. “Kadang-kadangkan otak kau
ni boleh tahan bijak.” Tapi memang bernas sangat cadangan Munira tu. Boleh
jimat banyak duit tabungnya.
“Mestilah.” Munira tersenyum lebar sebelum
menyambung semula kata-katanya. “Nak lepak kat sekolah tak hari ni?”
Lepak kat sekolah nak buat apa?” soal
Azalea. Tak pernah-pernah Munira ajak dia lepak di sekolah. Munira – sekolah,
mana pernah serasi. Munira ni lah pelajar malas datang sekolah selepas waktu
sekolah. Jadi jangan haraplah dia hendak lepak di sekolah ni.
“Hari ni ada latihan kawad pengakap lah.”
Terang Munira.
“Okey, habis tu kau nak buat apa? Nak
berkawad jugak ke Nira?”
“Kau nilah... bolehlah kau tengok Qiyaman
dan aku tengok Nurhan.”
Oh Qiyaman. “Aku letihlah.” Qiyaman tu
memang pakej yang sangat menarik. Bolehlah dipertimbangkan cadangan Munira tu.
“Qi.” Gesa Munira lagi. Azalea ni peminat
setia pada Qiyaman. Penolong Ketua Pengawas yang paling terkenal dan popular di
sekolah. Manalah tahu kalau dia sebut nama Qi, Azalea boleh berubah hati. Lagi
pun dia hendak tengok Nurhan.
Qiyaman sangat terkenal di Sekolah Menengah
Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan. Dia terkenal kerana kecomelannya
dan ada karisma berbanding dengan ketua pengawas, Nurhan. Si Azalea ni memang
minat sangat dengan Qiyaman hinggakan dia akan tulis tarikh dan jam untuk
setiap pertemuannya dengan Qiyaman dalam diari.
“Tahu, tapi aku letih sangat. Semalam kan
aku tolong mak aku kat pasar tani. Esok dah nak kena siap-siap untuk meniaga
kat pekan Rabu pulak. Hari ni aja yang aku ada masa nak rehat kat rumah lepas
sekolah.
“Kalau kau tak mahu, aku pun tak jadilah.”
Musnahlah impian dia nak tengok Nurhan berlatih kawad di padang sekolah.
“Ikut aku buat apa? Nak tengok Nurhan tu
pergi ajalah. Nanti kalau kau rindu kat Nurhan tu aku yang susah.”
“Tak naklah, malu.”
“Malu konon...” Azalea menolak bahu Munira
perlahan sambil tersenyum mengusik.
“Eh hari ni kau bawak bekal apa?” tanya Munira
yang ketika itu sedang membuka bekalan yang dibawa.
“Roti burger telur aja. Abah aku semputlah
malam tadi.” Kalau abah sakit, emak memang masak yang mudah macam ni untuk
bekal mereka ke sekolah.
“Alah kesiannya. Kita kongsilah makan
bihun goreng aku ni.” Balas Munira sambil membuka bekalannya.
“Qi, Qi.” Munira sedikit kelam kabut
ketika dia ternampak Qiyaman sedang berjalan di tepi padang sekolah.
Azalea memandang ke arah yang ditunjukkan
oleh Munira. Qiyaman dengan gayanya yang tersendiri yang suka menyingsing
lengan kemeja putihnya hingga pertengahan lengan.
Uhuk, Uhuk.
Aduh dia tersedak cili dari bihun goreng Munira
ketika Qiyaman betul-betul sedang lalu berhampiran mereka. Tekak rasa terbakar!
“Air, air.” Azalea tergesa-gesa membuka
botol air dan meneguknya. Ketika dia sedang meneguk air yang di isi dalam botol
mineral tulah, Qiyaman sudah berdiri di hadapannya.
Uhuk, Uhuk, bertambah kuat tersedaknya.
Benci! Sekali lagi dia tersedak tapi kali ini dia tersedak air pula. Aduh
kenapalah dalam keadaan macam ni Qiyaman betul-betul ada di hadapannya.
“Awak okey ke?” Qiyaman memandang wajah
merah padam budak perempuan di hadapannya. Budak perempuan ni nampak comel sangat.
Azalea hanya angguk kepala dan matanya
bulat memandang Qiyaman yang sudah melutut di kakinya. Ini adalah kali pertama
dia begitu hampir dengan Qiyaman. Jantungnya berdegeup lebih laju, rasa macam
nak pengsan.
“Lain kali makan tu hati-hati.” Nasihat
Qiyaman dalam senyuman.
Azalea angguk kepala lagi. Hari ini
pertama kali dalam hidupnya bercakap dengan Qiyaman dalam jarak yang sebegini
dekat. Dia rasa nak lompat tinggi-tinggi sampai ke langit!
“Qi kau buat apa tu?”
Tegur satu suara dan mereka bertiga
menoleh ke arah suara itu. Dia, Munira dan Qiyaman memandang ke arah Nurhan
yang sedang berjalan menghampiri mereka.
“Tak ada apa.” Balas Qiyaman sambil bangun
dan mengibas seluarnya di bahagian lutut dengan tangan kanan.
“Jom, lepas habis waktu rehat ni kita ada spotcheck.” Nurhan berjalan pantas di
hadapan Qiyaman.
Qiyaman menoleh sekilas ke belakang.
Memandang budak perempuan yang merah padam mukanya kerana tersedak tadi. “Lain
kali makan tu jangan gelojoh, perlahan-lahan supaya tak tersedak.” Ucap Qiyaman
sebelum pergi bersama Nurhan.
Budak comel yang dia suka lihat. Dia
selalu nampak budak ni setiap hari Rabu, menolong emaknya yang berniaga nasi
lemak. Dia hanya akan singgah di gerai tu selepas hantar Husna ke sekolah dan
biasanya ketika dia sampai budak perempuan comel tu sudah pun pergi ke sekolah.
No comments:
Post a Comment