Pergilah Nelly... I redha. Benar, keredhaannya
itu akhirnya telah membawa pergi Nelly dari hidupnya. Di tanah perkuburan yang
tanahnya masih merah ini dia membacakan surah Yaasin untuk Nelly. Kepalanya di
dongakkan seketika mencari ruang untuk bernafas.
Pada hari yang sama ini di hujung sebelah sana
dia lihat seorang wanita mengandung duduk di tepi kubur. Tekun membaca ayat
suci Allah. Wanita itu sudah ada di situ ketika dia sampai dan masih lagi di
situ ketika dia sudah selesai membacakan surah Yaasin untuk arwah Nelly. Sesekali
dia lihat wanita itu seperti mengesat air matanya.
Lihatlah
wanita itu yang mungkin sudah sarat benar hingga hendak bangun pun terasa
begitu payah sekali untuk bangun. Ya Allah, kau permudahkanlah hidup ibu
mengandung itu. Tetapi dari kejauhan itu dia terasa ada sesuatu yang menarik
tentang wanita itu. Wajahnya, gerak langkahnya walau kelihatan sangat lemah.
Lihatlah caranya mengelapkan air mata dengan belakang telapak tangan. Sama
dengan seseorang yang pernah dekat dengannya. Seseorang yang mengajar dia erti
hidup!
Langkah kaki diatur perlahan agar tidak tersalah
langkah. Maklumlah musim hujan, rumput-rumput masih lagi basah dari hujan malam
tadi. Bimbang tergelincir nanti. Pada usia kandungan yang sudah mencecah hampir
sembilan bulan ini, dia sudah tidak lincah lagi. Dia cepat letih dan sering
sakit belakang. Jika dulu Adam akan ada untuk membantu, tetapi...
Sesekali tangannya mengelus perut yang terasa
tegang. Semuanya dia rasa serba tidak kena. Emosi, kesihatannya... semuanya
sudah tidak tentu hala. Sepatutnya saat ini dia dan Adam sedang melakukan
persiapan untuk meraikan kehadiran permata cinta mereka.
“Leganya.” Keluh Yasmeen penuh kelegaan apabila
berehat sebentar di wakaf yang disediakan. Staminanya sudah semakin
berkurangan. Dia cepat lelah selepas melangkah beberapa tapak. Mujurlah
keretanya di letakkan berhampiran dengan tanah perkuburan ni.
“Sayang mama.” Bisik Yasmeen perlahan sambil
mengusap perlahan perutnya yang membuncit. Perutnya besar dan beratnya sudah
bertambah sebanyak 25 kilogram mencecah ke angka 75. “Papa dan tinggalkan kita
sayang.” Terasa pergerakan tangan anaknya seperti memujuk. Dulu... Adam sangat
teruja apabila perutnya bergerak perlahan.
Hendak sampai ke kereta yang hanya sekangkang
kera dari wakaf ini pun dia rasa nyawanya seperti hendak tercabut. Nafasnya
rasa sangat sesak. Sayang... kita mesti kuat semangat. Bisik Yasmeen sambil
mengosok perutnya. Anak yang dikandungnya ini seperti memahami yang mamanya
sedang bersedih. Mungkin benar mereka sedang berkongsi kehilangan. Kehilangan
Adam yang dia cinta.
Penghawa dingin keretanya dia buka ke laras yang
minima. Dia sudah tidak tahan sejuk. Badannya akan terasa ngilu, belum lagi
tiba waktu malam. Jika dulu Adam sangat rajin memakaikan stokin dan
menyelimutkannya. Kadang kala Adam yang penyabar tu akan buat apa saja asalkan
isterinya ini selesa di atas katil.
Ketika kandungan menginjak ke tujuh bulan, dia
sudah tidak selesa tidur baring atas katil. Biasanya Adamlah yang akan buat
kerja-kerja meletakkan bantal di kiri kanannya. Atau ada ketikanya apabila
pinggangnya sangat sakit dia hanya tidur separuh baring sambil bersandar pada
Adam yang juga dalam keadaan yang sama di atas sofa mereka.
Astagfirullah... Yasmeen jangan dikenangkan lagi.
Gear ditukarkan ke D untuk memulakan
pemanduannya. Hendak memandu juga dia sudah sangat seksa kerana perutnya yang
besar ini. Sejak tiga minggu selepas Adam pergi meninggalkan mereka, dialah
yang buat semuanya. Mujurlah dia bekerja sendiri berkongsi dengan Aiman. Jadi
bolehlah dia buat kerja mengubah dari rumah saja.
Keluar dari tanah perkuburan Ampang, dalam kepayahan tu dia memandu ke KLCC.
Tempat paling hampir untuk dia membeli belah barang keperluan baby. Dia dan
Adam memang sudah banyak kali berjalan mencari barang keperluan. Perancangan
mereka memang adalah waktu ini untuk membeli barang-barang bayi. Tetapi
perancangan Tuhan, Adam pergi dulu sebelum bayi ini dilahirkan.
Tak mengapalah sayang... kita berdua pun boleh
kan.
Perut yang senak, sakit dan pinggang yang tegang
itu tidak dia pedulikan. Dia kan kuat semangat. Dia mesti boleh! Lagi pun Aiman
yang akan memandu balik dari KLCC nanti. Yasmeen langsung tidak menyedari ada
kereta lain yang sedang mengikutnya dari belakang. Pemandu kereta yang sangat
setia mengekori dari tanah perkuburan tadi.
Langkah yang di atur oleh Yasmeen sangat
perlahan. Dalam keadaan kandungan yang semakin membesar ini, dia terpaksa
melakukannya seorang diri. Adam... saya dapat rasakan tendangan kaki anak kita
ni. Sekali lagi dia berhenti dan duduk di bangku yang disediakan. Hendak ke
tingkat dua pusat membeli belah ini pun dia rasa sangat seksa. Dia cepat penat
sekarang ni!
“Aiman, aku dah sampai ni.”
“Kat mana? Aku dalam teksi lagi ni.”
“Tingkat dua, depan entrance Isetan ni.”
“Okey, kau tunggu aku sampai aku datang. Aku dah
ada depan Ampang Park ni.”
“Cepat, aku rasa macam lapar.”
Sejak mula mengandung dia akan cepat lapar. Jadi
dulu, Adam akan sediakan biskut atau coklat dalam beg tangannya. Sekarang ni,
Aiman yang ambil alih tugas tu.
“Makan biskut tu, aku dah letakkan tadi dalam beg
kau.” Balas Aiman. Sejak Adam tak ada, dia sudah pindah ke rumah Yasmeen.
Sementara dia masih bertunang ni bolehlah dia temankan Yasmeen sehingga Yasmeen
selamat bersalin dan tamat tempoh pantangnya. Lagipun Yasmeen bercadang hendak
habiskan tempoh pantangnya di kampung.
“Ya lah, aku nak makan ni. Cepat sikit ya.” Boleh
tak kalau dia nak suruh Aiman dukung dia sebab dia dah tak larat nak jalan.
Dari jauh Ariel memerhatikan wanita yang dia
ekori dari tanah perkuburan tadi. Betullah itu Yasmeen tetapi kubur siapa yang
dia lawat tadi? Yasmeen mengandung. Bisik Ariel dalam hati. Berbeza sangat
dengan Yasmeen yang pernah dia kenal enam tahun dahulu. Yasmeen yang dahulu dan
sekarang tetap juga comel di hatinya.
Tangannya menyelok isi dalam beg mencari biskut
yang dibekalkan oleh Aiman. Sekali lagi dia merasai tendangan kaki anak yang
sedang dikandungnya. Hati... tabahlah! Perlahan-lahan perut yang sedang
menegang tu dia gosok dengan tangan kanannya.
“Sayang jangan nakal.” Bisik Yasmeen kepada anak
dalam kandungan.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.” Kepalanya mendongak memandang
suara yang menegurnya dan dia nampak... Ariel? Ariel yang pernah menjadi
suaminya. Lelaki yang punya tempat istimewa dalam hatinya! Ya lah buat apa nak
tipu, selepas Adam dia hanya ada Ariel dan selepas Ariel dia ada Adam.
Atau secara ringkasnya Adam à Ariel à Adam. Mereka berdua
saling berkait dengan seorang wanita bernama Yasmeen.
“Yasmeen.” Tegur Ariel.
“Ariel?” Dia tidak banyak berubah pun. Rambutnya
masih hitam. Pakai pewarna rambut ke Ariel? Cuma... dia kelihatan sedikit
kurus. Ya lah... mereka pun bukan muda lagi.
“Awak dah...” Ariel memandang ke arah perut besar
Yasmeen.
“Tengah tunggu hari.” Balas Yasmeen perlahan. Dia
malulah... perutnya ini besar dan bulat. Selalu saja menjadi perhatian orang
ramai kerana dia seperti sudah tidak berdaya hendak membawa perut yang besar
ni. Badannya pula tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan saiz
perutnya ini.
“Beraninya jalan seorang diri. Adam mana?” dia
tahulah Yasmeen telah memilih Adam selepas tiga tahun mereka berpisah. Cerita
perkahwinan Yasmeen tu dia dapat tahu daripada Murni dan sebelum itu pun dia
pernah terserempak dengan Yasmeen dan Adam di Kinokuniya.
“Saya tengah tungguh Aiman.”
“Kalau dah sarat macam ni duduk rumah ajalah
Meen.”
Terasa berbuku air liur yang ditelannya. Ariel
tak tahu, dia trauma tinggal di rumah seorang diri. Sebetulnya sejak Adam pergi,
dia lebih senang berada di luar jika tiada Aiman menemaninya di rumah.
“Sorry Meen... aku lambat.” Jerit Aiman tidak
jauh dari mereka.
“Err...” Aiman terkejut memandang lelaki yang
bersama dengan Yasmeen. Bila masa pula Yasmeen dan Ariel ‘berkawan’ semula?
“Apa khabar Aiman?” eh mana dia boleh lupa, Aiman
kan kawan Yasmeen dah dia pernah hampir salah sangka yang Aiman tu adalah
kekasih Yasmeen.
“Ariel?”
Ariel angguk kepala. “Ternampak Meen duduk sini
tadi, tu yang saya pun datang sini. Maklumlah dah lama tak jumpa.”
“Oh... saya ni pun nak temankan Meen beli barang
baby.” Jujur Aiman menerangkan situasi mereka kepada Ariel.
Yasmeen ni kalau bab berjalan dan shopping
memanglah dia kuat semangat. Lihatlah dah tunggu hari macam ni pun masih sempat
nak membeli belah tanpa Adam pula tu. “Adam mana?” Ariel... masih juga hendak
tahu tentang Adam. Maklumlah saingan kan?
“Adam...” Aiman tidak meneruskan kata-katanya.
Sebaliknya dia memandang Yasmeen di sebelah.
“Adam dah tak ada.” Jawab Yasmeen lirih dan
perlahan.
“Adam pergi mana?” Soal Ariel pantas. Lain macam
aja bunyi suara Yasmeen ni.
“Dia dah pergi tinggalkan kami.” Balas Yasmeen
perlahan dan menggosok perlahan perutnya. Ya Allah... dia sangka dia kuat.
Ternyata tiga minggu tempoh pemergian Adam tu masih belum menghilangkan
kesedihannya.
“Innalillahhiwainalilahhirojiun.” Bisik Ariel
perlahan. Kasihannya Yasmeen. Dia keseorangan menghadapi saat melahirkan anak
yang dikandungnya.
Hatinya meronta-ronta ingin tahu bagaimana Adam
pergi meninggalkan mereka. Tetapi wajah sayu Yasmeen menghalangnya untuk terus
bertanya. Sejak dulu dia tidak pernah boleh melihat wajah sedih Yasmeen. Ya lah
tuh Ariel, kau tetap juga sakitkan hati Yasmeen.
Sudahnya hampir ke lewat petang dia menemani
Yasmeen dan Aiman membeli barang keperluan si kecil yang bakal lahir. Yasmeen
tu memanglah... sedih macam mana sekali pun, apabila tiba bab membeli belah
pastilah dia yang terlebih bersemangat.
Dalam diam juga dia belikan juga sepasang dua
baju jenama Poney untuk si kecil yang bakal lahir. Entah-entah kembar sebab
perut Yasmeen tu besarnya mengalahkan apa aja. Tetapi Yasmeen kata bukan
kembar. Tak apalah dia belikan saja dress kecil warna pink dengan polkadot
warna merah. Pasti comel nanti.
“Ariel, tak payahlah susah-susah belikan baju
ni.” Malulah dia nak terima pemberian Ariel selepas enam tahun tidak berjumpa.
Kemudian Ariel pula menemani mereka sejak tadi. Serba salah dia dibuatnya,
hendak dihalau nanti nampak seperti tidak beradab. Dibiarkan, Ariel pula
mengekori mereka sejak tadi.
“Dah cukup semua barang?” soal Ariel tanpa
membalas kata-kata Yasmeen tadi.
Yasmeen angguk kepala. Sebenarnya ada dua benda
yang dia belum beli, stroller dan car seat. Tetapi biarlah dulu. Bila si kecil
ni dah keluar barulah dia beli yang itu.
No comments:
Post a Comment